Ahad, 18 Mac 2018

Tan Fook-Wan Wah juara di India


 
ARKIB : 30/03/2009
PASANGAN beregu negara, Lee Wan Wah (kiri) dan Choong Tan Fook bersama hadiah kemenangan menjuarai Terbuka India di Hyderabad, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR - Beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah membuktikan mereka masih berbisa dengan merangkul kejuaraan badminton Terbuka India di Hyderabad, semalam.

Begitupun, tumpuan utama adalah kepada kebangkitan yang ditunjukkan oleh bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim biar pun dia tewas kepada juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia pada perlawanan akhir.

Turut kecundang perseorangan wanita, Julia Wong, namun selepas memberi tentangan sengit kepada pilihan pertama, Pi Hongyan dari Perancis 21-17, 15-21, 14-21.

Semalam, Tan Fook-Wan Wah merangkul kejuaraan kedua mereka sejak meninggalkan skuad kebangsaan selepas menewaskan beregu Singapura, Hendri Kurniawan-Hendra Wijaya 21-9, 21-11.

Bekas beregu utama negara itu, yang merangkul gelaran profesional pertama pada Terbuka Vietnam 2008, Disember lalu hanya memerlukan 17 minit untuk mencatat kemenangan.

"Mereka (pasangan Singapura) tidak bermain dengan begitu baik dan berterusan melakukan kesilapan untuk memudahkan kami memenangi set pertama. Ia adalah perlawanan yang mudah,'' akui Wan Wah.

Sementara itu, Hafiz kembali mencuri tumpuan dengan mempamer prestasi meyakinkan apabila memberi tentangan sengit kepada Taufik sebelum tunduk 18-21, 19-21.

Juara Seluruh England 2003 itu, sebelum ini diberi amaran supaya membuktikan kemampuan pada Terbuka India dan Kejohanan Asia, bulan depan atau bakal disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

Dalam saingan wanita, Julia menguasai set pertama ketika menang 21-17, namun beberapa kesilapan yang dilakukan pada dua set berikutnya, terutama pukulan yang kerap kali melepasi garisan belakang memaksa dia akur kepada Hongyan.

Pemain kelahiran Melaka berusia 22 tahun itu mengakui, kekalahan ini amat mengecewakan dan menafikan impiannya untuk merangkul kejuaraan Terbuka pertama dalam kariernya.

Satu-satunya gelaran antarabangsa yang pernah dimenangi oleh pemain No. 15 dunia itu kejohanan bertaraf satelit di Sri Lanka, November 2006.

"Saya amat kecewa.. ini adalah kekalahan ketiga saya dalam perlawanan akhir kejohanan Terbuka,'' ujar Julia, naib juara Terbuka Macau 2008 dan Cabaran Malaysia 2007.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A6wC9MQc
© Utusan Melayu (M) Bhd