Khamis, 30 November 2017

Mew Choo dipilih penerima anugerah SAM-100 Plus 2007

ARKIB : 28/08/2008
28/08/2008 10:05pm

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kejayaan bergelar pemain wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka China, menobatkan ratu badminton negara, Wong Mew Choo sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus 2007 sebentar tadi.

Mew Choo, 25, berjaya mengetepikan calon pilihan yang sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal pemenang iaitu juara dunia dua kali dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.

Malah, dia turut mengetepikan tiga lagi calon hebat, juara Seluruh England 2007, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta dua juara Asia, Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Roslinda Samsu (lompat bergalah).

Kemenangan Mew Choo itu membolehkan dia membawa pulang hadiah RM10,000 berserta trofi yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob di Dewan Komanwel, Bukit Jalil sebentar tadi. – Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_33.htm#ixzz4zwjjRD8l

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 29 November 2017

Harapan beregu negara menang emas berkecai

ARKIB : 13/08/2008
13/08/2008 11:14pm

BEIJING - Harapan pemain beregu negara Koo Kien Kiat - Tan Boon Heong untuk memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik musnah selepas tewas di peringkat suku akhir kepada pasangan Indonesia Markis Kida - Hendra Setiawan 21-16, 21-18 di Beijing hari ini.

Pasangan Indonesia itu hanya memerlukan 34 minit untuk mengalahkan Kien Kiat dan Boon Heong walaupun mereka menunjukkan peningkatan di set kedua.

Cabaran negara dalam acara badminton Sukan Olimpik Beijing hanya terletak di bahu pemain perseorangan tunggal negara Lee Chong Wei yang akan beraksi esok dalam perlawanan suku akhir menentang Sony Dwi Kuncoro.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_23.htm#ixzz4ztI7QZrw

© Utusan Melayu (M) Bhd

Choong Hann gagal di pusingan ketiga

ARKIB : 12/08/2008
12/08/2008 11:07pm

BEIJING - Sehari selepas mengejutkan juara Olimpik, Taufik Hidayat, jaguh veteran negara, Wong Choong Hann dikejutkan pula dengan kekalahan kepada pemain tidak ternama Taiwan, Hsieh Yu-Shing pada pusingan ketiga Sukan Olimpik, sebentar tadi.

Choong Hann, 31, mengucapkan selamat tinggal kepada Sukan Olimpik selepas tewas 21-14, 17-21, 18-21.

Ini merupakan penamat yang paling mengecewakan buat naib juara dunia 2003 itu kerana ia merupakan penampilan terakhirnya di temasya sukan terbesar di dunia itu selepas turut beraksi di Sydney 2000 dan Athens 2004.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_33.htm#ixzz4ztFpModJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tan Fook-Wan Wah tersingkir di pusingan pertama

ARKIB : 12/08/2008
13/08/2008 12:12am

BEIJING - Cabaran pasangan veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Sukan Olimpik berakhir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada beregu muda Korea Selatan, Hwang Ji Man-Lee Jae Jin, sebentar tadi.

Tan Fook-Wan Wah, yang memburu pingat Olimpik pertama dalam empat penampilan bagaimanapun menutup kempen dengan kekalahan 22-20, 13-21, 16-21.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_34.htm#ixzz4ztEtEw7q

© Utusan Melayu (M) Bhd

Olimpik: Perseorangan lelaki badminton negara mara ke pusingan ketiga, wanita ke suku akhir.

ARKIB : 11/08/2008
11/08/2008 9:28pm

BEIJING - Pemain perseorangan lelaki badminton negara mara ke pusingan ketiga, manakala perseorangan wanita mara ke pusingan suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.

Pemain badminton perseorangan negara Wong Choon Han tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan pemain Indonesia Taufik Hidayat apabila menang dengan straight set 21-19 , 21-16.

Sementara Lee Chong Wei yang beraksi sebelum itu berjaya mengalahkan pemain Singapura Ronald Susilo 21-13, 21-14.

Pemain perseorangan wanita negara meneruskan rentak kecemerlangannya selepas menang 21-16, 21-8 ke atas pemain Bulgaria Petya Nedelcheva.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_30.htm#ixzz4ztCADLCK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Beregu emas kembali dapat sentuhan

ARKIB : 07/08/2008
BEIJING - Pasangan badminton negara yang pernah bergelar beregu emas, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong kini berada dalam prestasi terbaik mereka menjelang saingan badminton Sukan Olimpik yang akan membuka tirai, Sabtu ini.

Jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata, kedua-dua anak didiknya itu pada pemerhatiannya telah mendapat semula 'sentuhan' sama seperti ketika mereka menjuarai Kejohanan Seluruh England tidak lama dahulu.

''Prestasi mereka pada masa ini sama seperti ketika menjuarai Seluruh England. Permainan mereka banyak meningkat dan stamina kedua-duanya juga jauh lebih baik sebelum ini," katanya ketika ditemui di pusat latihan skuad badminton negara di Kelab Badminton Gino & Nirvana di sini, semalam.

Rexy memberitahu, ketika ini kebimbangan beliau lebih kepada mengelak kedua-dua anak didiknya itu daripada mengalami tekanan keterlaluan yang pada anggapannya mampu menjejaskan persembahan semasa pertandingan.

Menyentuh tentang pertemuan pertama Kean Keat- Boon Heong dengan lawannya dari Jepun, Sakamoto Shuichi-Ikeda Shintaro, Rexy memberitahu, berdasarkan rekod, pasangan negara pernah tewas dua kali dan menang sekali dengan beregu Jepun tersebut.

''Tetapi saya tidak bimbang kerana Kien Keat-Boon Heong tewas kepada Shuichi- Shintaro pada ketika mereka bukan dalam prestasi terbaik.

"Ketika itu pasangan negara melakukan banyak kesilapan yang tidak sepatutnya," ujar Rexy.

Mengenai Choong Tan Fook- Lee Wan Wah, menurut Rexy, kedua-dua pasangan veteran itu juga menunjukkan banyak peningkatan dibantu dengan pengalaman kedua dalam Sukan Olimpik, beliau tidak nampak sebarang masalah.

''Tan Fook-Wan Wah akan menentang Lee Jae Jin- Hwang Ji Man. Ketika tewas pada final Kejohanan Badminton Asia ABC yang lalu, mereka bukan berada dalam prestasi terbaik dan saya harapkan mereka dapat memberikan yang terbaik menjelang perlawanan kelak," ujarnya.

Rexy juga mengakui paling penting pada ketika ini ialah pemain negara mengelakkan daripada mendapat kecederaan walaupun mereka diminta memberikan tumpuan pada 100 peratus pada pertandingan kelak.

''Saya harapkan rakyat Malaysia berdoa untuk kami memberikan persembahan yang terbaik walaupun tanpa kehadiran mereka di sini," tambah beliau.

- Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zt5VnWNT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Choong Hann 'masak' cara Taufik

ARKIB : 07/08/2008
BEIJING - Pemain perseorangan kedua negara, Wong Choon Hann tidak menganggap 'kemunculan' semula penyandang juara Olimpik, Taufik Hidayat dalam mempertahan kejuaraannya di sini sebagai gimik setelah hampir tidak disenaraikan sebelum ini gara-gara demam denggi berdarah.

Choong Hann yang membuat penampilan ketiga dalam Sukan Olimpik selepas kali pertama menyertainya di Sydney 2000 dan Athens 2004 berkata, sakit dan pening menjelang saat-saat akhir sebelum pertandingan bermula adalah lumrah bagi semua atlet.

Katanya, apa yang penting pada ketika ini ialah dia bersikap positif dan berusaha mempamerkan sebaik mungkin permainan ketika menentang Taufik pada pusingan awal nanti.

''Saya telah banyak kali bertemu dengan Taufik, malah saya juga pernah sakit dalam satu kejohanan satu ketika dahulu tetapi saya terus bertahan dan berjaya juga ke perlawanan akhir. Apa yang penting pada ketika ini ialah mengekalkan tahap permainan terbaik saya dan minda saya juga perlu stabil," katanya.

Choong Hann yang menduduki ranking ke-14 dunia berkata, dia yakin dapat menewaskan lawannya itu sekalipun ramai yang meletakkan peluangnya 50-50 pada kali ini.

Pusingan seterusnya agak mudah bagi Choong Hann kerana dia hanya bakal berhadapan dengan pemain tidak ternama iaitu pemenang antara persaingan Nguyen Tien Minh menentang pemenang antara Hsieh Yu Hsin dari Taiwan dan Mehrabi Kaveh dari Iran.

Apa pun, laluan Choong Hann dijangka kembali sukar kerana mara ke suku akhir selepas ini bermakna dia bakal bertemu jaguh China, Chen Jin yang diramal mudah melepasi halangan di peringkat awal pertemuan.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Badminton Negara, Yap Kim Hock menyifatkan pertemuan Choong Hann dengan Taufik lebih kepada ulangan pertemuan di Athens 2004 apabila pemain Indonesia itu menyingkirnya daripada meneruskan saingan di suku akhir.

''Apa pun saya meletakkan pertemuan ini 50-50. Ini kerana prestasi Taufik pun semakin menurun dan dia tidak sehebat dulu.

''Pada masa yang sama saya berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh Choong Hann dan saya berharap dia dapat melepasi halangan peringkat awal ini," kata Kim Hock.

- Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zt4bU4KW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Choong Hann idam impian kedua raih pingat

ARKIB : 31/07/2008
KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan lelaki kedua negara, Wong Choong Hann (gambar) berharap dapat merealisasikan impiannya meraih pingat Sukan Olimpik pada penampilan keduanya dalam temasya berprestij itu di Beijing, bulan depan.

"Fokus saya sekarang ialah untuk menang pingat pada Sukan Olimpik. Walaupun persaingan sememangnya sengit tetapi saya masih berazam untuk meraih pingat di Olimpik,'' katanya.

Dia kini menjalani latihan di bawah pengawasan jurulatih Wong Tat Meng sebagai persiapan mencapai impian mencari pingat Olimpik itu.

Selain Choong Hann, Lee Chong Wei turut akan menggalas cabaran negara dalam perseorangan lelaki acara badminton Sukan Olimpik yang membuka gelanggang pada 9 Ogos ini.

"Saya masih ingat perlawanan di Olimpik empat tahun dulu tetapi sekarang bukan masanya memikirkan kekecewaan yang sudah berlalu. Saya perlu bersemangat dan mempunyai ketahanan mental yang kuat," katanya.

Undian acara badminton Sukan Olimpik baru-baru ini, jelas tidak berpihak kepada Choong Hann.

Beliau terpaksa memulakan saingan di Beijing dengan menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens, Taufik Hidayat dari Indonesia pada pusingan kedua.

"Ia memang saingan yang sengit. Bagi saya, saya sudah melakukan persediaan terbaik dan bersedia untuk berdepan dengan beliau (Taufik).

"Buat masa sekarang ini, saya bebas daripada sebarang kecederaan tetapi hanya kesakitan biasa bila sudah berumur seperti ini," kata pemain kidal yang kini berada pada ranking ke-12 Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Choong Hann bersama lapan lagi pemain badminton negara akan berangkat ke Beijing 5 Ogos ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zoma8FMI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 November 2017

Beregu muda muncul juara

ARKIB : 21/07/2008
KUALA LUMPUR - Percaturan mengekalkan gabungkan Mak Hee Chun-Teo Kok Siang di Kejohanan Badminton Remaja Asia ternyata membuahkan hasil apabila muncul juara bagi kategori beregu individu, di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Mereka berjaya menewaskan Choi Young Woo-Kim Ki Jung dari Korea dengan kemenangan straight set, 21-12 dan 21 18.

Beregu remaja itu baru sahaja digabungkan dalam tempoh enam bulan lalu dan baru dua kali beraksi di Piala Dunia Remaja, tahun ini.

Kok Siang sebelum ini merupakan pemain perseorangan dan pemilihan untuk digandingkan dengan Hee Chun dilihat sangat tepat.

Malah, beregu remaja itu turut mendapat perhatian istimewa daripada ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky.

"Gabungan mereka nampak serasi dan diramal memenangi kejohanan ini, sejak mempamerkan permainan mantap di peringkat suku akhir lalu. Mereka telah membuktikannya meskipun agak gugup sedikit pada set pertama. Ia mungkin berpunca daripada tekanan yang dihadapi," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zmJgTWaX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Beregu muda wakil tunggal negara

ARKIB : 20/07/2008
KUALA LUMPUR - Mak Hee Chun-Teo Kok Siang menyelamatkan maruah Malaysia pada Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila menjadi wakil tunggal negara melayakkan diri ke perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. Selepas cemerlang memiliki wakil dalam semua lima perlawanan akhir tahun lalu, Malaysia gagal mengulangi pencapaian tersebut, iaitu seminggu selepas kita gagal mempertahankan kejuaraan berpasukan campuran.

Semalam, Hee Chun-Kok Siang, yang turun sebagai pilihan pertama beregu lelaki, berjaya mengelak daripada kejutan awal apabila mara ke perlawanan akhir dengan menundukkan pasangan China, Chai Biao- Zhang Nan 21-18, 21-17.

Hee Chun-Kok Siang, yang menumpaskan Kim Dae Eun- Kim Ki Eung dari Korea 21-14, 21-17 pada saingan suku akhir, kini akan berdepan satu lagi beregu negara itu, Choi Young Woo-Kim Ki Jung di final hari ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zmEnsIvS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain perseorangan Malaysia cemerlang

ARKIB : 18/07/2008
KUALA LUMPUR - Kesemua enam wakil perseorangan lelaki Malaysia cemerlang pada saingan awal Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila melangkah ke pusingan ketiga di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Namun begitu, kegembiraan kem badminton Malaysia dikejutkan dengan kekalahan beregu nombor duanya, Chooi Kah Ming-Yeoh Choong Hee.

Kah Ming-Choong Hee yang dianggap antara pilihan untuk membawa pulang gelaran tahun ini selaku pilihan kedua tewas 23-25, 17-21 kepada beregu bukan pilihan, Liao Chun Chieh-Liao Kuan Hao dari Taiwan.

Apa pun, kemaraan enam perseorangan lelaki negara menjadi berita paling menggembirakan buat skuad tuan rumah yang sebelum ini gagal mempertahankan kejuaraan berpasukan.

Perseorangan utama dan pilihan ke-10, Kuan Kam Chung mengetuai kemaraan dengan menang 8-21, 21-16, 21-7 ke atas Lee Dong Keun dari Korea untuk bertemu Ng Ka Long dari Hong Kong.

Turut mara Muhd. Syawal Ismail, yang menewaskan Su Hon Min dari Taiwan 21-14, 14-21, 21-17 manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin menang mudah 21-9, 21-11 ke atas Mohannad Aljonid dari Syria.

Tan Aik Quan pula menempah pertemuan dengan pilihan keempat, Hsu Jen Hao dari Taiwan selepas mengalahkan pemain Kemboja, Rithypol Mon 21-3, 21-9, Loh Wei Sheng menumpaskan Kinley Wangchuk dari Myanmar 21-4, 21-5 dan Welson Lim menundukkan Nguyen Cong Hai dari Vietnam 21-19, 19-21, 21-17.

Sementara itu, harapan Malaysia untuk merangkul kejuaraan beregu lelaki masih boleh disandar kepada pilihan utama, Mak Hee Chun-Teo Kok Sai yang mengalahkan Mustafa Mohamad-Haider Mahdi Bashah dari Iraq 21-4, 21-12.

Turut mara gandingan Ow Yao Han-Pang Zheng Lin, yang dipaksa berhempas pulas untuk menang 21-19, 16-21, 21-19 ke atas Michiharu Kido-Ryo Takiuchi dari Jepun.

Cabaran Malaysia juga diteruskan oleh dua pasangan perempuan, Lim Ee Von-Ng Hui Ern dan Vivian Hoo-Tee Jing Yi yang menewaskan lawan dari India dan Myanmar.

Tiga beregu campuran negara, Lau Win Hui-Yvonne Ong, Ow Yao Han-Yeow Mei Xie dan Yew Hong Kheng-Lai Pei Jing kesemuanya gagal meneruskan kemaraan.

Namun, Malaysia masih menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan beregu campuran menerusi Chooi Kah Ming-Ng Hui Ern, Teo Kok Siang-Saniru Sannatasah dan Mak Hee Chun-Vivian Hoo yang mendapat bye, semalam selaku pilihan pertama, kedua dan ketiga.

KEPUTUSAN

(Pusingan kedua, Malaysia sahaja)

Perseorangan lelaki: MUHD. SYAWAL ISMAIL kln Su Hon Min (Tpe) 21-14, 14-21, 21-17; TAN AIK QUAN kln Rithypol Mon (Cam) 21-3, 21-9; ISKANDAR ZULKARNAIN ZAINUDDIN kln Mohannad Aljonid (Syr) 21-9, 21-11; KUAN KAM CHUNG kln Lee Dong Keun (Kor) 8-21, 21-16, 21-7; LOH WEI SHENG kln Kinley Wangchuk (Bhu) 21-4, 21-5; WELSON LIM kln Nguyen Cong Hai (Vie) 21-19, 19-21, 21-17

Beregu lelaki: MAK HEE CHUN-TEO KOK SAI kln Mustfa Mohamad-Haider Mahdi Bashah (Irq) 21-4, 21-12; OW YAO HAN-PANG ZHENG LIN kln Michiharu Kido-Ryo Takiuchi (Jpn) 21-19, 16-21, 21-19; Liao Chun Chieh-Liao Kuan Hao (Tpe) kln CHOOI KAH MING-YEOH CHOONG HEE 25-23, 21-17.

Beregu wanita: LIM EE VON-NG HUI ERN kln P.C Thulasi-Sikki Reddy (Ind) 17-21, 21-14, 22-20; Lu Lu-Xia Huan (Chn) kln CHONG VEE VIAN-ONG BOON HUI 21-14, 21-11; VIVIAN HOO-TEE JING YI kln Lhamo Karma-Yuden Karma (Bhu) 21-5, 21-4

Beregu campuran: Lu Hsin Hao-Cheng Wan Hui (Tpe) kln LAU WIN HUI-YVONNE ONG 18-21, 21-16, 22-20; Nipitphon Phuangphuapet- Chayanit Chaladchalam (Tha) kln OW YAO HAN-YEOW MIE XI 21-14, 21-16; Chai Biao-Xie Jing (Chn) kln YEW HONG KHENG-LAI PEI JING 21-17, 21-12
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zlra0QUL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad remaja mara ke separuh akhir


 

ARKIB : 15/07/2008
KOO Kien Keat (kanan) dan Tan Boon Heong bakal mendapat suntikan semangat daripada rakan sepasukan yang bersedia mendengar keluhan mereka menjelang Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

KUALA LUMPUR - Malaysia menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia selepas dipaksa berhempas pulas menundukkan Taiwan 3-2 dalam suku akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Pasukan negara yang turut dipaksa berkerja keras ketika menewaskan Jepun 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada sebelah pagi akan menentang cabaran paling sukar, Korea Selatan dalam saingan separuh akhir hari ini.

Walaupun Malaysia merupakan penyandang juara dan pilihan pertama, namun Korea, yang menewaskan Thailand 3-1 dianggap calon utama untuk merangkul kejuaraan berpasukan tahun ini kerana menurunkan barisan yang lebih berpengalaman berbanding skuad negara.

Satu lagi separuh akhir akan menemukan naib juara tahun lalu, China dengan Hong Kong yang melayakkan diri ke separuh akhir buat kali pertama selepas mengejutkan Indonesia 3-2 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Gandingan Teo Kok Siang-Sannatasah Saniru meletakkan Malaysia di landasan yang baik apabila mengutip mata pertama selepas menewaskan Chou Tien Chen-Cheng Wan Hui 21-16, 13-21, 21-15 dalam acara beregu campuran.

Bagaimanapun, Taiwan memberi tamparan apabila mengutip dua mata dalam acara perseorangan selepas Hung Shih Han menundukkan Tee Jing Yi 24-22, 21-17 dalam perseorangan perempuan, manakala Hsu Jen Hou menewaskan Iskandar Zulkranain Zainuddin 21-13, 13-21, 21-18 dalam saingan lelaki.

Ketinggalan 1-2 memaksa Malaysia menggandakan usaha dan kombinasi Mak Hee Chun-Teo Kok Siang menghidupkan peluang negara dengan menyamakan kedudukan 2-2 selepas menang mudah 21-14, 21-19 ke atas Lu Hsi Hao-Yuang Po Yi dalam beregu lelaki.

Pasukan negara dipaksa mengharungi aksi mencemaskan pada penentuan sebelum gandingan Jing Yi-Vivian Hoo mengesahkan mata kemenangan dengan menewaskan Peng Hsiao Chu-Cheng Wan Hui 21-15, 17-21, 21-17.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zjsW2pIc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 November 2017

Beregu wanita kita ke akhir

ARKIB : 29/06/2008
KUALA LUMPUR - Pasangan beregu wanita negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty muncul satu-satunya wakil negara yang berjaya layak ke perlawanan akhir badminton Terbuka Thailand.Di peringkat separuh akhir, semalam, Eei Hui-Pei Tty yang merupakan pilihan keempat kejohanan menewaskan beregu Singapura, Jiang Yanmei-Li Yujia 21-14, 21-14 dalam masa 28 minit.

Kemenangan itu membolehkan mereka menempah pertemuan dengan pilihan pertama, Yang Wei-Zhang Jiewen pada perlawanan akhir hari ini.

Pasangan China sebelum itu mara selepas menewaskan beregu Taiwan, Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin 21-19, 22-24, 21-13 dalam satu lagi separuh akhir.

Sementara itu, harapan untuk menyaksikan satu lagi wakil negara mara ke perlawanan akhir tidak kesampaian apabila pasangan beregu campuran, Lim Khim Wah-Pei TTy tewas semalam.

Mereka tewas kepada pasangan pilihan kedua dari China, Xie Zhongbo-Zhang Yawen 17-21, 14-21 dalam masa 32 minit.

Pemain China menguasai sebahagian besar tempat di perlawanan akhir hari ini.

Kecuali dalam acara perseorangan lelaki yang akan mempertemukan Lin Dan dan pemain tuan rumah, Boonsak Ponsana serta dalam beregu wanita.

Selebihnya akan mempertemukan pemain China sesama sendiri dalam perseorangan wanita, beregu campuran dan beregu lelaki.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zcst7dOk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pei Tty ketuai kemaraan dua beregu negara

ARKIB : 28/06/2008
KUALA LUMPUR - Wong Pei Tty muncul pemain badminton negara paling cemerlang pada Terbuka Thailand di Bangkok, semalam apabila melangkah ke separuh akhir dalam dua acara.

Bagaimanapun, cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki berakhir dengan kekalahan dua pasangannya, Chan Chong Ming- Chew Choon Eng dan Hoon Thien How-Ong Soon Hock.

Gandingan Pei Tty dan Chin Eei Hui mara ke separuh akhir beregu wanita selepas dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan pasangan Denmark, Helle Nielsen-Marie Roepke 21-15, 14-21, 21-11.

Wakil Malaysia pada Sukan Olimpik dan pilihan keempat itu akan berdepan beregu Singapura, Jiang Yanmei-Li Yujia yang menang percuma ke atas pilihan kedua, Du Jing-Yu Yang dari China.

Terdahulu, Pei Tty menempatkan diri ke separuh akhir pertamanya dalam acara beregu campuran bersama pemain remaja, Lim Khim Wah.

Kombinasi mantap Pei Tty-Khim Wah mengetepikan pasangan Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen dari Denmark 21-19, 18-21, 25-23.

Pasangan itu yang hanya memulakan kempen dari pusingan kelayakan bakal berdepan cabaran sukar pilihan kedua, Xie Zhongbo- Zhang Jiewen dari China pada separuh akhir, hari ini.

Sementara itu, harapan bekas beregu nombor satu dunia, Chong Ming-Choon Eng untuk meraih kejuaraan antarabangsa pertama mereka sejak 2002 tidak kesampaian apabila tumpas 23-25, 13-21 kepada beregu nombor dua China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo.

Pasangan muda negara, Thien How-Soon Hock pula nyata bukan tandingan satu lagi gandingan handalan China, Cai Yun-Fu Haifeng apabila tewas 10-21, 18-21.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zcrfPuB9

© Utusan Melayu (M) Bhd

BAM terima Hafiz dengan syarat


 

ARKIB : 28/06/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
persatuan Badminton Malaysia sudi menerima Muhammad Hafiz Hashim untuk meneruskan karier dalam sukan tersebut. .

KUALA LUMPUR - Bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim diberikan 'talian hayat' oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sudi menerimanya dalam skuad kebangsaan dengan syarat.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 itu perlu segera menyelesaikan hubungannya dengan kelab profesional, Nusa Mahsuri yang masih tergantung sejak dia mengumumkan hasrat untuk keluar daripada kelab yang dinaungi sejak 1999 pada Februari lalu.

Malah, Hafiz juga harus bersedia untuk terikat dengan komitmen latihan dan program ketat yang disediakan oleh BAM, sekali gus tidak lagi sebebas sebelum ini.

Andai Hafiz mampu memenuhi syarat ini, maka BAM sedia untuk menerima pemain itu di bawah naungan mereka - langkah yang dianggap sebagai jalan terbaik untuk menyelamatkan karier Hafiz yang kini semakin tenat.

Persetujuan BAM itu diumumkan Presidennya, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Bukit Kiara, semalam.

Menurut Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, Hafiz telah mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM itu sejurus tamat Piala Thomas lalu untuk bertanya sama ada dia boleh menyertai badan induk tersebut.

"BAM setuju untuk menerima Hafiz tetapi dia kenalah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan dan syarat utama adalah menyelesaikan kedudukannya dengan Nusa Mahsuri.

"Kami juga ada memberikan beberapa syarat lain jika dia berminat, ia lebih kepada komitmen latihan dan program yang perlu diikuti sekiranya bernaung di bawah skuad kebangsaan,'' kata Kenny.

Hafiz, 26, mengalami kekalahan buruk dalam dua kejohanan terakhir yang disertai, di mana dia kalah kepada pemain tidak ternama Jepun, Kenichi Tago pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, dua minggu lalu dan tewas kepada seorang lagi pemain negara itu, Yuichi Ikeda di pusingan ketiga Terbuka Thailand, kelmarin.

Dua kekalahan itu menyusul sebulan selepas dia turut mempamerkan aksi hambar pada Piala Thomas di Jakarta, yang mana dia kalah mudah kepada jaguh China, Chen Jin dalam saingan penentuan separuh akhir.

"Saya tidak boleh komen mengapa Hafiz beralih kepada BAM dan membatalkan hasrat ke kelab KLRC, itu anda kena tanya dia sendiri.

"Tetapi untuk kami di BAM, kami gembira jika dapat membantu pemain berbakat besar seperti Hafiz. Dia ada potensi yang bagus dan dia pernah membuktikannya, kami hanya mahu yang terbaik untuk badminton negara,'' ujar Kenny.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcqYconV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Hafiz gagal Terbuka Thailand

ARKIB : 27/06/2008
KUALA LUMPUR - Masa depan karier badminton bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim semakin terancam selepas mengalami kekalahan terbaru kepada pemain tidak ternama Jepun, Yuichi Ikeda di pusingan ketiga Terbuka Thailand, semalam.

Juara Seluruh England 2003 dan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 itu tumpas mengejut 21-19, 16-21, 10-21.

Ini adalah kekalahan mengejut kedua yang dialami Hafiz selepas tewas di tangan seorang lagi pemain Jepun, Kenichi Tago pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, minggu lalu.

Dengan kekalahan Hafiz itu bermakna, Malaysia tidak lagi memiliki wakil pada suku akhir perseorangan lelaki hari ini, namun cabaran akan diteruskan dua beregu lelaki, satu beregu wanita dan satu beregu campuran.

Hoon Thien How-Ong Soon Hock menempah pertemuan dengan beregu handalan China, Fu Haifeng-Cai Yun selepas menewaskan Patipat Chalardchaleam-Nuttaphon Narkthong dari Thailand 21-11, 13-21, 21-13.

Bekas beregu nombor satu dunia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pula mengalahkan beregu England, Chris Adcock-Robert Blair 21-13, 21-15 untuk menentang pasangan nombor dua China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo 21-13, 21-12.

Wong Pei Tty pula layak ke suku akhir dalam dua acara. Dalam beregu wanita dia dan Chin Eei Hui menewaskan Chang Yun Ju-Liu Shu Chih 21-10 21-7, manakala gandingan Pei Tty-Lim Khim Wah mengalahkan rakan senegara, Thien How-Amelia Alicia Anselly 21-17, 21-18 dalam acara campuran.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zcjPWqBQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Hafiz kalah mengejut

ARKIB : 19/06/2008
KUALA LUMPUR - Karier badminton Muhammad Hafiz Hashim semakin meruncing selepas kalah mengejut kepada pemain tidak ternama Jepun, Kenichi Tago pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, semalam.

Hafiz yang menjadi sandaran terbaik Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM800,000) itu selepas ketiadaan Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann, sebaliknya tewas 17-21, 14-21.

Cabaran perseorangan lelaki negara bagaimanapun diteruskan dua pemain KLRC, Lee Tsuen Seng dan Sairul Amar Ayob, manakala dua lagi perseorangan negara, Mohd. Roslin Hashim dan Yeoh Kay Bin kandas di pusingan pertama.

Turut meneruskan cabaran ke pusingan kedua adalah juara Terbuka Singapura dan naib juara Terbuka Indonesia 2007, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif, yang mengetuai kemaraan empat beregu negara.

Tsuen Seng menumpaskan pemain muda tuan rumah, Tommy Sugiarto 27-25, 21-17 untuk bertemu Kendrick Lee dari Singapura.

Sairul pula menempah pertemuan dengan pilihan ketujuh, Przemyslaw Wacha dari Poland selepas berhempas pulas menundukkan Chan Yan Kit dari Hong Kong 21-19, 18-21, 21-17.

Fairuzizuan-Zakry, yang memburu gelaran Siri Super kedua selepas kemenangan di Singapura minggu lalu menang 21-19, 21-11 ke atas pasangan senegara, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah untuk berdepan Cho Gun Woo-Yoo Yeon Seong dari Korea.

Naib juara Terbuka Singapura, Gan Teik Chai- Lin Woon Fui bagaimanapun gagal mengulangi kecemerlangan apabila tumpas kepada juara dunia dari Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan 21-16, 21-17.

Markis-Hendra kini akan berdepan bekas pasangan utama negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, yang mara selepas menewaskan beregu tuan rumah, Rohanda Agung-Imam Sodikin Irawan 21-17, 17-21, 21-16.

Hoon Thien How-Ong Soon Hock pula mengetepikan pasangan Indonesia, Pernando Kurniawan- Lingga Lie 17-21, 21-12, 21-11 untuk bertemu beregu Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto.

Turut mara ke pusingan kedua ialah pasangan Khoo Chung Chiat-Tan Bin Shen, yang menang 21-17, 21-12 ke atas Chen Hung Lin-Lu Chi Yuan dari Taiwan untuk berdepan pilihan ketujuh, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Sementara itu beregu wanita nombor satu negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berjaya mengelak daripada tersingkir awal selepas menumpaskan Christina Pedersen-Mie Schjoett-Kristensen dari Denmark 21-13, 21-17.

KEPUTUSAN

(Pusingan pertama, pemain Malaysia)

Perseorangan lelaki: Kenichi Tago (Jpn) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM 21-17, 21-14; LEE TSUEN SENG kln Tommy Sugiarto (Ina) 27-25, 21-17; Dicky Palyama (Ned) kln YEOH KAY BIN 21-17, 22-20; SAIRUL AMAR AYOB kln Chan Yan Kit (Hkg) 21-19, 18-21, 21-17; Bao Chunlai (Chn) kln MOHD. ROSLIN HASHIM 21-11, 21-16.

Beregu lelaki: KHOO CHUNG CHIAT-TAN BIN SHEN kln Suprobo Bagus-Aji Basuki (Ina) 21-17, 21-12; MOHD. ZAKRY ABDUL LATIF-MOHD FAIRUZIZUAN TAZARI kln CHAN PENG SOON-LIM KHIM WAH 21-19, 21-11; Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto Jpn (Jpn) kln MOHD. RAZIF ABDUL LATIF-TAN WEE KIONG 21-18, 21-7; CHAN CHONG MING-CHEW CHOON ENG kln Rohanda Agung-Imam Sodikin Irawan (Ina) 21-17, 17-21, 21-16; HOON THIEN HOW-ONG SOON HOCK kln Pernando Kurniawan- Lingga Lie (Ina) 17-21, 21-12, 21-11; Markis Kido-Hendra Setiawan (Ina) kln GAN TEIK CHAI-LIN WOON FUI 21-16, 21-17

Beregu wanita: Rani Mundiasti-Endang Nursugianti (Ina) kln CHONG SOON CHIN-WOON KHE WEI 21-10, 21-16; WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI kln Christina Pedersen-Mie Schjoett-Kristensen (Den) 21-13, 21-17; Shendy Puspa Irawati-Meiliana Jauhari (Ina) kln FONG CHEW YEN-MOOI HING YAU 21-18, 15-21, 21-18

Beregu campuran: Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl Den (Den) kln HOON THIEN HOW-AMELIA ALICIA ANSELLY 21-11, 21-15; Fran Kurniawan- Shendy Puspa Irawati (Ina) kln LIM KHIM WAH-WONG PEI TTY 17-21, 21-19, 21-19; Muhammad Rijal- Greysia Polii (Ina) kln CHAN PENG SOON-OOI YU HANG 21-11, 21-15; MOHD. RAZIF ABDUL LATIF-CHONG SOON CHIN kln Jacob Chemnitz-Marie Roepke (Den) 21-14, 21-17
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zbyUhdPy

© Utusan Melayu (M) Bhd