Isnin, 27 November 2017

BAM terima Hafiz dengan syarat


 

ARKIB : 28/06/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
persatuan Badminton Malaysia sudi menerima Muhammad Hafiz Hashim untuk meneruskan karier dalam sukan tersebut. .

KUALA LUMPUR - Bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim diberikan 'talian hayat' oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sudi menerimanya dalam skuad kebangsaan dengan syarat.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 itu perlu segera menyelesaikan hubungannya dengan kelab profesional, Nusa Mahsuri yang masih tergantung sejak dia mengumumkan hasrat untuk keluar daripada kelab yang dinaungi sejak 1999 pada Februari lalu.

Malah, Hafiz juga harus bersedia untuk terikat dengan komitmen latihan dan program ketat yang disediakan oleh BAM, sekali gus tidak lagi sebebas sebelum ini.

Andai Hafiz mampu memenuhi syarat ini, maka BAM sedia untuk menerima pemain itu di bawah naungan mereka - langkah yang dianggap sebagai jalan terbaik untuk menyelamatkan karier Hafiz yang kini semakin tenat.

Persetujuan BAM itu diumumkan Presidennya, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Bukit Kiara, semalam.

Menurut Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, Hafiz telah mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM itu sejurus tamat Piala Thomas lalu untuk bertanya sama ada dia boleh menyertai badan induk tersebut.

"BAM setuju untuk menerima Hafiz tetapi dia kenalah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan dan syarat utama adalah menyelesaikan kedudukannya dengan Nusa Mahsuri.

"Kami juga ada memberikan beberapa syarat lain jika dia berminat, ia lebih kepada komitmen latihan dan program yang perlu diikuti sekiranya bernaung di bawah skuad kebangsaan,'' kata Kenny.

Hafiz, 26, mengalami kekalahan buruk dalam dua kejohanan terakhir yang disertai, di mana dia kalah kepada pemain tidak ternama Jepun, Kenichi Tago pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, dua minggu lalu dan tewas kepada seorang lagi pemain negara itu, Yuichi Ikeda di pusingan ketiga Terbuka Thailand, kelmarin.

Dua kekalahan itu menyusul sebulan selepas dia turut mempamerkan aksi hambar pada Piala Thomas di Jakarta, yang mana dia kalah mudah kepada jaguh China, Chen Jin dalam saingan penentuan separuh akhir.

"Saya tidak boleh komen mengapa Hafiz beralih kepada BAM dan membatalkan hasrat ke kelab KLRC, itu anda kena tanya dia sendiri.

"Tetapi untuk kami di BAM, kami gembira jika dapat membantu pemain berbakat besar seperti Hafiz. Dia ada potensi yang bagus dan dia pernah membuktikannya, kami hanya mahu yang terbaik untuk badminton negara,'' ujar Kenny.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcqYconV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan