Ahad, 26 November 2017

Remaja kita tewaskan beregu China

ARKIB : 14/06/2008
KUALA LUMPUR - Pemain pelapis kebangsaan, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong melakar kejutan besar ke atas beregu handalan China, Guo Zhendong- Xie Zhongbo untuk mengetuai dominasi tiga pasangan negara pada separuh akhir Terbuka Singapura, semalam.

Malah, cabaran Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM640,000) itu turut diteruskan jaguh nombor dua dunia, Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo.

Razif-Wee Kiong, anggota skuad Projek 2010-2012 itu melangkah ke separuh akhir Siri Super buat kali pertama selepas mengejutkan beregu nombor lapan dunia, Zhendong-Zhongbo 21-17, 11-21, 21-19.

Kemenangan ke atas wira Piala Thomas China itu menemukan mereka dengan beregu senegara, Gan Teik Chai-Lin Woon Fui, yang menumpaskan rakan sepasukan, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng 21-14, 21-17.

Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif menjadi pasangan ketiga Malaysia melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan beregu muda senegara, Khoo Chung Chiat-Tan Bin Shen 21-23, 21-13, 21-7 untuk bertemu Choo Gun Woo-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan.

Sementara itu, Chong Wei bukan tandingan buat pemain muda Denmark, Joachim Persson apabila menang mudah 21-9, 21-7. Chong Wei kini bakal berdepan jaguh veteran Denmark, Peter Gade di separuh akhir, hari ini.

Mew Choo juga tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Hwang Hye Youn dari Korea 21-12, 21-9 tetapi bakal berdepan juara Seluruh England, Tine Rasmussen dari Denmark.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zab4x5kq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan