Rabu, 22 November 2017

Cabaran Malaysia berakhir



ARKIB : 20/04/2008

JOHOR BAHRU – Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) berakhir tanpa sebarang kejuaraan selepas harapan tunggalnya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tersingkir dalam saingan separuh akhir, semalam, lapor HANIZA HASSAN.

Kien Keat-Boon Heong kini mengharungi enam bulan tanpa sebarang gelaran antarabangsa selepas tumpas 21-16, 16-21, 18-21 kepada juara Seluruh England, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan.

Malah, Wong Choong Hann, yang bakal menjadi perseorangan kedua Malaysia pada Piala Thomas nanti turut tewas di tangan perseorangan kedua Korea, Park Sung Hwang di separuh akhir. Sung Hwang mara ke final selepas menewaskan naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Bagi jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky prestasi Boon Heong-Kien Keat telah meningkat berbanding beberapa bulan lalu, di mana mereka dikritik hebat kerana aksi yang merosot.

Bagaimanapun jurulatih dari Indonesia itu mengakui, masih banyak perlu diperbaiki oleh bekas pasangan nombor satu dunia itu menjelang Piala Thomas.

“Saya puas hati dan gembira melihat keazaman yang ditunjukkan oleh Kien Keat dan Boon Heong, pada saya lebih baik mereka kalah kepada beregu Korea itu di sini daripada kalah di Piala Thomas.

“Mereka bermain baik pada set pertama tetapi hilang rentak dan keserasian pada set kedua, dan selepas itu, permainan mula tidak seimbang,’’ kata Rexy.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4z9bgeprm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan