Ahad, 26 November 2017

Kejuaraan beregu milik Malaysia

ARKIB : 15/06/2008
 
pasangan beregu negara, Mohd. Zakry (kanan) dan Mohd. Fairuzizuan mara ke perlawanan akhir bertemu rakan senegara, Gan Teik Chai-Lin Woon Fui pada badminton Terbuka Singapura, hari ini.

KUALA LUMPUR - Malaysia sudahpun mengesahkan satu kejuaraan pada ketika perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura hanya akan berlangsung hari ini apabila dua beregu lelakinya menempah pertemuan akhir sesama sendiri.

Malah, pasukan negara juga berpeluang memenangi gelaran berganda selepas jaguh nombor dua dunia, Lee Chong Wei turut mara ke perlawanan akhir.

Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif memiliki kesempatan terbaik untuk merangkul kejuaraan Siri Super pertama mereka apabila menentang Gan Teik Chai-Lin Woon Fui pada final hari ini.

Semalam, beregu nombor tiga negara itu melayakkan diri ke perlawanan akhir Siri Super buat kali kedua selepas mengetepikan pasangan Korea Selatan, Cho Gun Woo-Yoo Yeon Seong 21-17, 21-15.

Teik Chai-Woon Fui pula menundukkan beregu remaja senegara, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong 21-16, 21-16.

Pertemuan naib juara Terbuka Indonesia 2007, Fairuzizuan-Zakry dan Teik Chai-Woon Fui bakal menjanjikan aksi menarik kerana keempat-empat pemain itu pernah bergandingan sesama sendiri sebelum dipecah oleh jurulatih, Rexy Mainaky.

Fairuzizuan merupakan bekas pasangan Woon Fui, manakala Zakry pernah berganding dengan Teik Chai.

Sementara itu, Chong Wei menghampiri gelaran Siri Super keduanya tahun ini selepas mencatat kemenangan straight-set 21-18, 21-13 ke atas jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade.

Chong Wei yang memenangi Terbuka Malaysia, Januari lalu kini akan berdepan pemain Indonesia, Simon Santoso, yang mara selepas menewaskan Andrew Smith dari England 21-11, 21-14.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zaqrDmfc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan