Rabu, 29 November 2017

Choong Hann 'masak' cara Taufik

ARKIB : 07/08/2008
BEIJING - Pemain perseorangan kedua negara, Wong Choon Hann tidak menganggap 'kemunculan' semula penyandang juara Olimpik, Taufik Hidayat dalam mempertahan kejuaraannya di sini sebagai gimik setelah hampir tidak disenaraikan sebelum ini gara-gara demam denggi berdarah.

Choong Hann yang membuat penampilan ketiga dalam Sukan Olimpik selepas kali pertama menyertainya di Sydney 2000 dan Athens 2004 berkata, sakit dan pening menjelang saat-saat akhir sebelum pertandingan bermula adalah lumrah bagi semua atlet.

Katanya, apa yang penting pada ketika ini ialah dia bersikap positif dan berusaha mempamerkan sebaik mungkin permainan ketika menentang Taufik pada pusingan awal nanti.

''Saya telah banyak kali bertemu dengan Taufik, malah saya juga pernah sakit dalam satu kejohanan satu ketika dahulu tetapi saya terus bertahan dan berjaya juga ke perlawanan akhir. Apa yang penting pada ketika ini ialah mengekalkan tahap permainan terbaik saya dan minda saya juga perlu stabil," katanya.

Choong Hann yang menduduki ranking ke-14 dunia berkata, dia yakin dapat menewaskan lawannya itu sekalipun ramai yang meletakkan peluangnya 50-50 pada kali ini.

Pusingan seterusnya agak mudah bagi Choong Hann kerana dia hanya bakal berhadapan dengan pemain tidak ternama iaitu pemenang antara persaingan Nguyen Tien Minh menentang pemenang antara Hsieh Yu Hsin dari Taiwan dan Mehrabi Kaveh dari Iran.

Apa pun, laluan Choong Hann dijangka kembali sukar kerana mara ke suku akhir selepas ini bermakna dia bakal bertemu jaguh China, Chen Jin yang diramal mudah melepasi halangan di peringkat awal pertemuan.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Badminton Negara, Yap Kim Hock menyifatkan pertemuan Choong Hann dengan Taufik lebih kepada ulangan pertemuan di Athens 2004 apabila pemain Indonesia itu menyingkirnya daripada meneruskan saingan di suku akhir.

''Apa pun saya meletakkan pertemuan ini 50-50. Ini kerana prestasi Taufik pun semakin menurun dan dia tidak sehebat dulu.

''Pada masa yang sama saya berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh Choong Hann dan saya berharap dia dapat melepasi halangan peringkat awal ini," kata Kim Hock.

- Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zt4bU4KW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan