Jumaat, 3 November 2017

Hafiz guris hati kami - Jalani



ARKIB : 03/02/2008

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR - Juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim disifatkan 'bermain api' apabila melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sebalik keputusannya untuk meninggalkan Kelab Nusa Mahsuri.

Presiden Nusa Mahsuri, Jalani Sidek menegaskan, tindakan Hafiz itu keterlaluan.

Malah, Jalani juga terkejut apabila pemain itu mengumumkan perpindahannya ke satu lagi kelab profesional pada ketika proses itu masih tergantung dan belum muktamad.

''Saya memang tidak mahu membuka mulut kepada media selama ini kerana saya percaya masalah dia patut diselesaikan secara tertutup.

''Kami telah mengadakan perbincangan dan sebenarnya sudah pun bertemu formula yang dapat membantu Hafiz. Saya percaya semua akan selesai dan (Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong) akan adakan sidang akhbar untuk mengumumkan perkara ini.

"Tetapi tiba-tiba lain pula yang jadinya. Kenyataan dia telah mengguris hati banyak pihak, sangat mengguris hati,'' tegas Jalani.

MendakwaKelmarin, Hafiz yang dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris mendakwa, permainannya terjejas disebabkan kedudukan kewangan yang semakin meruncing.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2003 itu memberitahu, masalah berkenaan telah diketengahkan kepada MSN, BAM dan Nusa.

"Saya harap Hafiz sedar apa yang dikatakannya, jangan cakap ikut sedap mulut sebab nanti dia sendiri akan binasa. Dia tahu apa yang telah kami usahakan untuk membantunya. Sudah tentu ia tidak boleh selesai dalam tempoh 24 jam tetapi kami akan bantu dia, dan itu yang kami buat.

"Bukan saja Nusa, malah MSN dan BAM bersungguh-sungguh hendak membantunya kerana kami semua percaya dia merupakan pemain berbakat besar dan mampu mencipta kejayaan buat negara,'' kata Jalani.

Menurut Jalani, mungkin hanya permohonan maaf secara terbuka mampu menyelamatkan Hafiz daripada dikenakan tindakan seperti digantung daripada mewakili negara pada Sukan Olimpik, Piala Thomas, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan SEA.

"Kami pernah ada sejarah hitam seperti ini (pemain digantung) sebab itu saya serik. Dulu (1998) Rashid Sidek tidak dibenarkan untuk mempertahankan kejuaraan hatrik pada Sukan Komanwel kerana Nusa dan BAM bersengketa ketika itu, sedangkan Rashid pemain nombor satu negara.

"Saya harap, perkara yang sama tidak akan berlaku kepada Hafiz. Saya sudah anggap dia seperti adik saya sendiri, kami di Nusa sangat sayangkan dia kerana kami telah mendidiknya sejak dia remaja sudah sembilan tahun kami susah senang bersama,'' kata Jalani.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4xPmJCUA5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan