Sabtu, 25 November 2017

Gempur China

ARKIB : 16/05/2008
 
malaysia boleh!... Barisan skuad negara yang akan memikul cabaran menentang China pada separuh akhir Piala Thomas, hari ini.

JAKARTA - Tiada lagi elemen kejutan, Malaysia sebaliknya akan menurunkan pasukan terkuat untuk menentang China pada separuh akhir Piala Thomas hari ini dan yakin melangkah ke perlawanan akhir bukan misi mustahil.

Secara individu, China memiliki pemain yang lengkap untuk melakar kejuaraan hatrik Piala Thomas, namun sebagai sebuah pasukan, Malaysia mampu memberikan cabaran yang kuat untuk memenangi pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Istora, Senayan.

Pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim bakal mengetuai cabaran perseorangan negara, bersiap sedia untuk berdepan Lin Dan, Bao Chunlai dan Chen Jin.

Bagi acara beregu, kombinasi Choong Tan Fook-Koo Kien Keat diakui berjaya mempamer permainan meyakinkan ketika membantu Malaysia menumbangkan Jepun di suku akhir, namun pasukan negara mungkin kembali kepada kombinasi asal, Tan Fook-Lee Wan Wah dan Kien Keat-Tan Boon Heong.

China pula dijangka menampilkan juara dunia 2006, Fu Haifeng-Cai Yun, selain pasangan nombor sembilan dunia, Guo Zhendong-Xie Zhongbo, kecuali negara itu mahu membuat rombakan dalam gandingan mereka untuk menghadapi pasangan negara yang diakui mempunyai kelebihan.

Selaku juara dua kali dan memiliki barisan pemain yang kesemuanya berada dalam ranking 10 terbaik dunia, China merupakan pilihan untuk memenangi pertemuan hari ini, namun Malaysia, memiliki rekod yang cemerlang ke atas gergasi badminton dunia itu dalam empat pertemuan terakhir mereka sejak 1992.

Kemenangan paling sejarah yang mampu membangkitkan motivasi pemain Malaysia tentunya ketika kita menumpaskan China 3-1 di depan penyokong mereka sendiri pada Piala Thomas 2002 di Guangzhou.

"Perseorangan terbaik kita ketika ini adalah Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim, jadi kita akan menurunkan ketiga-tiga pemain terbaik ini untuk menghadapi China.

"Percaturan kita dalam acara beregu belum ditentukan, mungkin kita akan melakukan rombakan sama seperti yang dibuat ketika menentang Jepun atau mungkin juga tidak, namun berdepan China, saya tidak fikir perubahan kombinasi beregu akan memberikan perbezaan besar," kata ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock.

Walaupun mengakui beregu menjadi sandaran utama negara untuk mengutip dua mata penting kerana China memiliki kekuatan dalam acara perseorangan, namun Kim Hock menegaskan, Malaysia juga sebenarnya mampu mencuri mata daripada acara perseorangan.

Berlangsung sengitKatanya, pertemuan Lin Dan-Chong Wei selama ini sentiasa berlangsung sengit, justeru peluang masih 50-50 dan mampu berpihak kepada pemain nombor satu negara itu jika prestasinya hari ini lebih baik berbanding pemain nombor satu dunia itu.

Chunlai pula mungkin memenangi enam daripada sembilan pertemuannya dengan Choong Hann, termasuk dalam dua pertemuan terakhir mereka di Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia - kedua-duanya Januari tahun ini, namun Choong Hann pemain yang lebih stabil apabila tiba acara berpasukan.

Sekiranya perlawanan terikat 2-2 dan memaksa saingan diheret ke perseorangan ketiga, kebanyakan jurulatih bersetuju bahawa Hafiz adalah pemain yang lebih baik berbanding Chen Jin, meskipun tidak pernah memenangi kesemua empat pertemuannya dengan juara Seluruh England itu.

"Dia mungkin tidak menyerlah dalam kejohanan individu dan sering diperkecilkan tetapi Hafiz mampu membawa impak besar kepada pasukan apabila beraksi dalam situasi genting. Lagipun, prestasinya sepanjang minggu ini cukup memberangsangkan.

"Saya masih melihat Hafiz sebagai perseorangan ketiga yang paling berbahaya. Jika pertemuan Malaysia-China diheret ke permainan kelima, saya akan memilih Malaysia sebagai pemenangnya," kata legenda badminton Indonesia yang juga bekas jurulatih Malaysia, Indra Gunawan.

Walaupun Tan Fook-Wan Wah menghadiahkan mata kemenangan Malaysia ketika menumbangkan China 3-1 di Guangzhou, enam tahun lalu, namun Hafiz adalah kunci utama kemenangan itu.

Hafiz, 26, yang membuat penampilan sulung Piala Thomas dan tidak memiliki ranking dunia yang baik berjaya mengejutkan Chunlai, antara lima pemain terbaik dunia ketika itu dalam perlawanan perseorangan kedua.

- Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zWIxreaN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan