Ahad, 26 November 2017

Hantar Fairuzizuan, Zakry ke Olimpik


 

ARKIB : 18/05/2008
Mohd. Zakry Abdul Latif (kanan) dan Mohd. Fairuzizuan Tazari wajar diberikan peluang ke Olimpik Beijing berdasarkan prestasi semasa sejak akhir-akhir ini.

JAKARTA - Persaingan memburu tiket ke Sukan Olimpik semakin hangat selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah gagal mempamerkan prestasi meyakinkan pada Piala Thomas di Jakarta sekali gus meletakkan gandingan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif sebagai calon baru untuk beraksi pada temasya 8-24 Ogos itu.

Tan Fook-Wan Wah dan Kien Keat-Boon Heong pada asalnya menjadi calon utama untuk beraksi di Temasya Beijing selepas menduduki tangga keempat dan kelima dunia dalam ranking 1 Mei, 2008 - iaitu ranking terakhir yang akan menentukan pemain yang layak ke Olimpik.

Bagaimanapun, Fairuzizuan-Zakry yang menghuni kedudukan ke-13 dunia, masih boleh melayakkan diri sekiranya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mengetepikan salah satu daripada beregu utamanya untuk memberi laluan kepada pasangan ini yang lebih menyerlah di Jakarta.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hanya beregu yang berada pada kedudukan 16 terbaik dunia pada ranking 1 Mei, 2008 layak beraksi di Temasya Beijing, namun setiap negara hanya dibenarkan menghantar maksimum dua pasangan.

BAM mempunyai tempoh sehingga 31 Mei ini untuk memutuskan pemain mana yang dimahukan untuk beraksi di Olimpik nanti, sama ada Tan Fook-Wan Wah yang sudah semakin hilang sentuhan, Kien Keat-Boon Heong yang terus mencetus kebimbangan atau Fairuzizuan-Zakry, beregu yang tidak punya kejuaraan besar tetapi mempamer aksi amat meyakinkan ketika membenam pasangan nombor sembilan dunia, Xie Zhongbo-Guo Zhendong pada separuh akhir Piala Thomas menentang China, kelmarin.

Rombakan

Presiden BAM, Datuk Nadzmi Mohd. Salleh ketika ditemui selepas perlawanan mengakui prestasi Kien Keat-Boon Heong terus membimbangkan dan memberi sepenuh sokongan kepada ketua jurulatih, Rexy Mainaky dan barisan jurulatih jika mereka mahu membuat sebarang rombakan, termasuk memecah kombinasi ini.

Rexy pula menegaskan, dia perlu segera mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Kien Keat dan Boon Heong untuk mencari punca masalah mereka sebaik kembali ke Kuala Lumpur, mungkin idea untuk menggugurkan pasangan ini dari Sukan Olimpik akan hadir selepas pertemuan itu.

“Kien Keat dan Boon Heong terus mengecewakan saya. Mereka sepatutnya menggunakan peluang ini (separuh akhir Piala Thomas) untuk mengukuhkan kedudukan dan memulihkan prestasi menjelang Sukan Olimpik, tetapi mereka gagal menggunakan kesempatan itu dan saya benar-benar kecewa.

“Ketika ini, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai tindakan yang akan diambil tetapi kami kena melakukan analisis,” kata Rexy.

Idea untuk menggugurkan Kien Keat- Boon Heong, yang pernah mencipta fenomena dengan merangkul kejuaraan Sukan Asia 2006, Seluruh England 2007 dan berada pada ranking nombor satu dunia pernah terlintas di fikiran Rexy, dua bulan lalu apabila pasangan ini hilang tumpuan di Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Kekalahan 16-21, 17-21 kepada pasangan China, Fu Haifeng-Cai Yun menambah kebimbangan terhadap prestasi beregu muda ini, malah Tan Fook-Wan Wah juga turut membimbangkan jurulatih itu, apabila kalah kepada kombinasi baru Korea, Jung Jae Sung-Lee Jae Jin pada peringkat kumpulan.

Fairuzizuan-Zakry, sebaliknya tampil dengan aksi lebih meyakinkan apabila menundukkan pasangan kedua China, Zhongbo-Zhendong 21-17, 21-15, meskipun hanya membuat penampilan pertama pada pusingan akhir Piala Thomas.

– Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zWT9G7Ka

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan