Isnin, 27 November 2017

Hafiz gagal Terbuka Thailand

ARKIB : 27/06/2008
KUALA LUMPUR - Masa depan karier badminton bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim semakin terancam selepas mengalami kekalahan terbaru kepada pemain tidak ternama Jepun, Yuichi Ikeda di pusingan ketiga Terbuka Thailand, semalam.

Juara Seluruh England 2003 dan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 itu tumpas mengejut 21-19, 16-21, 10-21.

Ini adalah kekalahan mengejut kedua yang dialami Hafiz selepas tewas di tangan seorang lagi pemain Jepun, Kenichi Tago pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, minggu lalu.

Dengan kekalahan Hafiz itu bermakna, Malaysia tidak lagi memiliki wakil pada suku akhir perseorangan lelaki hari ini, namun cabaran akan diteruskan dua beregu lelaki, satu beregu wanita dan satu beregu campuran.

Hoon Thien How-Ong Soon Hock menempah pertemuan dengan beregu handalan China, Fu Haifeng-Cai Yun selepas menewaskan Patipat Chalardchaleam-Nuttaphon Narkthong dari Thailand 21-11, 13-21, 21-13.

Bekas beregu nombor satu dunia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pula mengalahkan beregu England, Chris Adcock-Robert Blair 21-13, 21-15 untuk menentang pasangan nombor dua China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo 21-13, 21-12.

Wong Pei Tty pula layak ke suku akhir dalam dua acara. Dalam beregu wanita dia dan Chin Eei Hui menewaskan Chang Yun Ju-Liu Shu Chih 21-10 21-7, manakala gandingan Pei Tty-Lim Khim Wah mengalahkan rakan senegara, Thien How-Amelia Alicia Anselly 21-17, 21-18 dalam acara campuran.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zcjPWqBQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan