Ahad, 26 November 2017

Hafiz kalah mengejut

ARKIB : 19/06/2008
KUALA LUMPUR - Karier badminton Muhammad Hafiz Hashim semakin meruncing selepas kalah mengejut kepada pemain tidak ternama Jepun, Kenichi Tago pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, semalam.

Hafiz yang menjadi sandaran terbaik Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM800,000) itu selepas ketiadaan Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann, sebaliknya tewas 17-21, 14-21.

Cabaran perseorangan lelaki negara bagaimanapun diteruskan dua pemain KLRC, Lee Tsuen Seng dan Sairul Amar Ayob, manakala dua lagi perseorangan negara, Mohd. Roslin Hashim dan Yeoh Kay Bin kandas di pusingan pertama.

Turut meneruskan cabaran ke pusingan kedua adalah juara Terbuka Singapura dan naib juara Terbuka Indonesia 2007, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif, yang mengetuai kemaraan empat beregu negara.

Tsuen Seng menumpaskan pemain muda tuan rumah, Tommy Sugiarto 27-25, 21-17 untuk bertemu Kendrick Lee dari Singapura.

Sairul pula menempah pertemuan dengan pilihan ketujuh, Przemyslaw Wacha dari Poland selepas berhempas pulas menundukkan Chan Yan Kit dari Hong Kong 21-19, 18-21, 21-17.

Fairuzizuan-Zakry, yang memburu gelaran Siri Super kedua selepas kemenangan di Singapura minggu lalu menang 21-19, 21-11 ke atas pasangan senegara, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah untuk berdepan Cho Gun Woo-Yoo Yeon Seong dari Korea.

Naib juara Terbuka Singapura, Gan Teik Chai- Lin Woon Fui bagaimanapun gagal mengulangi kecemerlangan apabila tumpas kepada juara dunia dari Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan 21-16, 21-17.

Markis-Hendra kini akan berdepan bekas pasangan utama negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, yang mara selepas menewaskan beregu tuan rumah, Rohanda Agung-Imam Sodikin Irawan 21-17, 17-21, 21-16.

Hoon Thien How-Ong Soon Hock pula mengetepikan pasangan Indonesia, Pernando Kurniawan- Lingga Lie 17-21, 21-12, 21-11 untuk bertemu beregu Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto.

Turut mara ke pusingan kedua ialah pasangan Khoo Chung Chiat-Tan Bin Shen, yang menang 21-17, 21-12 ke atas Chen Hung Lin-Lu Chi Yuan dari Taiwan untuk berdepan pilihan ketujuh, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Sementara itu beregu wanita nombor satu negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berjaya mengelak daripada tersingkir awal selepas menumpaskan Christina Pedersen-Mie Schjoett-Kristensen dari Denmark 21-13, 21-17.

KEPUTUSAN

(Pusingan pertama, pemain Malaysia)

Perseorangan lelaki: Kenichi Tago (Jpn) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM 21-17, 21-14; LEE TSUEN SENG kln Tommy Sugiarto (Ina) 27-25, 21-17; Dicky Palyama (Ned) kln YEOH KAY BIN 21-17, 22-20; SAIRUL AMAR AYOB kln Chan Yan Kit (Hkg) 21-19, 18-21, 21-17; Bao Chunlai (Chn) kln MOHD. ROSLIN HASHIM 21-11, 21-16.

Beregu lelaki: KHOO CHUNG CHIAT-TAN BIN SHEN kln Suprobo Bagus-Aji Basuki (Ina) 21-17, 21-12; MOHD. ZAKRY ABDUL LATIF-MOHD FAIRUZIZUAN TAZARI kln CHAN PENG SOON-LIM KHIM WAH 21-19, 21-11; Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto Jpn (Jpn) kln MOHD. RAZIF ABDUL LATIF-TAN WEE KIONG 21-18, 21-7; CHAN CHONG MING-CHEW CHOON ENG kln Rohanda Agung-Imam Sodikin Irawan (Ina) 21-17, 17-21, 21-16; HOON THIEN HOW-ONG SOON HOCK kln Pernando Kurniawan- Lingga Lie (Ina) 17-21, 21-12, 21-11; Markis Kido-Hendra Setiawan (Ina) kln GAN TEIK CHAI-LIN WOON FUI 21-16, 21-17

Beregu wanita: Rani Mundiasti-Endang Nursugianti (Ina) kln CHONG SOON CHIN-WOON KHE WEI 21-10, 21-16; WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI kln Christina Pedersen-Mie Schjoett-Kristensen (Den) 21-13, 21-17; Shendy Puspa Irawati-Meiliana Jauhari (Ina) kln FONG CHEW YEN-MOOI HING YAU 21-18, 15-21, 21-18

Beregu campuran: Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl Den (Den) kln HOON THIEN HOW-AMELIA ALICIA ANSELLY 21-11, 21-15; Fran Kurniawan- Shendy Puspa Irawati (Ina) kln LIM KHIM WAH-WONG PEI TTY 17-21, 21-19, 21-19; Muhammad Rijal- Greysia Polii (Ina) kln CHAN PENG SOON-OOI YU HANG 21-11, 21-15; MOHD. RAZIF ABDUL LATIF-CHONG SOON CHIN kln Jacob Chemnitz-Marie Roepke (Den) 21-14, 21-17
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zbyUhdPy

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan