Sabtu, 18 November 2017

Skuad negara lepasi pusingan pertama



ARKIB : 03/04/2008

KUALA LUMPUR – Tiga calon skuad Piala Thomas, Sairol Amar Ayob, Tan Chun Seang dan Mohd. Arif Abdul Latif berjaya melepasi pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka India di Hyderabad, semalam.

Pada ketika Arif tidak perlu turun ke gelanggang untuk meneruskan kemaraan, Sairol dan Chun Seang pula menang mudah ke atas lawan tidak ternama.

Naib juara remaja Asia, Arif, 19, mencatat kemenangan percuma ke atas pemain New Zealand, John Moody untuk menempah pertemuan dengan pemain Taiwan, Liao Sheng Shiun.

Sairol pula akan bertemu jaguh tuan rumah, Chetan Anand selepas mudah mengetepikan Carlos Longo dari 21-5, 21-10.

Chun Seang, yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara kebangsaan tidak tercabar pada set pertama ketika menewaskan Thomas Ellis dari New Zealand 21-0, 21-11.

Pemain skuad kebangsaan itu juga akan bertemu pemain tuan rumah, Anand Pawar pada pusingan kedua.

Cabaran seorang lagi pemain remaja negara, Pei Wee Chung bagaimanapun berakhir selepas kalah mengejut kepada pemain nombor 114 dunia dari Iran, Ali Shahhosseini 21-17, 22-24, 19-21.

Cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada kejohanan Grand Prix Emas ini turut dipikul oleh Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng, Liew Daren dan Chong Wei Feng yang mendapat bye pada pusingan pertama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yr7uudQ5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan