Sabtu, 18 November 2017

Sairul kalahkan Kuncoro



ARKIB : 13/03/2008

KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan, Sairul Amar Ayob melakukan kejutan apabila menewaskan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia 21-13, 21-11 pada pusingan pertama badminton Terbuka Switzerland, semalam.

Sairul di ranking ke-88 dunia menewaskan pemain ranking keenam dunia yang juga naib juara Kejohanan Dunia dan juara Asia 2002 dan 2005 itu dalam tempoh 27 minit.

Kemenangan itu membolehkan Sairul ke pusingan kedua bertemu Wong Choong Hann.

Choong Hann melepasi pusingan pertama semalam apabila menewaskan seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng.

Menurut Sairul, kemenangan semalam menjadikan rekod pertemuan dengan Kuncoro seimbang selepas dua pertemuan.

Kali terakhir mereka bertemu di Terbuka Malaysia 2003 dengan kemenangan memihak kepada Kuncoro.

''Kemenangan ini meningkatkan semangat saya untuk melangkah lebih jauh di kejohanan ini.

''Untuk perlawanan pusingan kedua esok (hari ini), saya langsung tidak rasa tertekan dan akan memberikan aksi terbaik.

''Saya tidak rugi apa-apa sekalipun tewas esok," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Choong Hann yang kandas di pusingan pertama kejohanan Seluruh England di Birmingham minggu lalu mara selepas menang perlawanan tiga set 18-21, 21-16, 21-19 ke atas Tsuen Seng dalam masa lebih sejam.

Dua pertemuan dengan Sairul sebelum ini memihak kepada Choong Hann namun kedua-duanya terpaksa ditentukan pada perlawanan tiga set.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ypMrOuXj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan