Sabtu, 18 November 2017

Mew Choo langkah mudah, Xingfang tewas mengejut



ARKIB : 06/03/2008

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan utama wanita negara, Wong Mew Choo dan beregu lelaki negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah membuka tirai saingan badminton Seluruh England dengan langkah kanan apabila mudah melepasi pusingan pertama di Birmingham, semalam.

Mew Choo tidak menghadapi masalah menewaskan pemain Indonesia, Maria Kristin Yulianti 21-13, 21-15.

Kemenangan dalam masa 34 minit itu membolehkan Mew Choo bakal bertemu sama ada pemain China, Jiang Yanjiao atau pemain England, Elizabeth Cann di pusingan kedua hari ini.

Tambah menggembirakan Mew Choo semalam ialah berita kekalahan mengejut pemain pilihan pertama dari China yang juga juara bertahan tiga tahun berturut-turut (2005-2007), Xie Xingfang di pusingan pertama.

Xingfang yang dijangka bertemu Mew Choo di suku akhir turun lebih awal tetapi tumpas 20-22, 19-21 kepada pemain kurang ternama dari Hong Kong, Yip Pui Yin sekali gus memusnahkan peluangnya untuk meneruskan penguasaan buat tahun keempat berturut-turut.

Kekalahan pemain nombor satu dunia itu sudah pasti satu rahmat buat Mew Choo yang dilihat mempunyai harapan cerah untuk mara ke separuh akhir.

Pasangan Tan Fook-Wan Wah juga tidak menghadapi masalah untuk meneruskan kemaraan.

Gandingan veteran negara itu hanya mengambil masa 24 minit untuk menewaskan pasangan Kanada, Mike Beres-William Milroy 21-16, 21-12.

Kemenangan itu membolehkan pasangan negara itu menempah pertemuan sama ada dengan beregu senegara, Ong Soon Hock-Tan Bin Shen atau beregu Amerika Syarikat, Howard Bach-Bob Malaythong di pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, sehingga berita ini ditulis pada pukul 2 pagi, empat lagi wakil negara sudah pun terkeluar daripada saingan.

Manakala antara yang belum turun beraksi termasuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Wong Choong Hann, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari dan Soon Hock-Bin Shen.

Mereka yang sudah terkeluar ialah Lee Tsuen Seng dan Roslin Hashim yang terkandas di pusingan pertama perseorangan lelaki.

Tsuen Seng yang merupakan pemain pertama negara yang turun beraksi semalam tewas 21-10, 20-22, 15-21 kepada pemain kelayakan dari Belanda, Eric Pang.

Roslin pula tewas kepada pemain Denmark, Joachim Persson dalam perlawanan yang berlanjutan hingga tiga set, 15-21, 21-17, 9-21.

Dua lagi yang terkandas di pusingan pertama adalah gandingan Gan Teck Chai-Lim Woon Fui dalam beregu lelaki dan Haw Chiou Hwee-Lim Pek Siah dalam beregu wanita.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yn1ZuJZU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan