Jumaat, 17 November 2017

Malaysia ke suku akhir



ARKIB : 21/02/2008
KUALA LUMPUR – Dua kemenangan besar 5-0 ke atas Filipina dan Kemboja membawa pasukan negara menepati ramalan awal layak ke suku akhir badminton kelayakan Piala Thomas di Ho Chi Minh, semalam.

Malah, pemain-pemain negara juga menepati statusnya sebagai pilihan utama apabila mudah menjinakkan kedua-dua pencabar tidak ternama itu untuk mengungguli Kumpulan A.

Bagaimanapun, Malaysia perlu mengalahkan Taiwan dalam perlawanan terakhir hari ini untuk menentukan juara kumpulan, sekali gus bertemu naib juara Kumpulan C pada suku akhir.

Malaysia yang membariskan pasukan terbaik dalam perlawanan pembukaan di sebelah pagi, hanya mengambil masa satu jam 31 minit untuk melengkapkan lima perlawanan ketika menentang Filipina.

Pada sebelah petang pula, skuad negara menurunkan pemain remaja Asia, Mohd. Abdul Arif Latif buat kali pertama dan hanya memerlukan satu jam, 8 minit untuk membenam Kemboja.

Malah, semua pemain negara memenangi perlawanan mereka menerusi straight-set dan setiap kemenangan itu pula dicatat kurang 20 minit.

Pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei menyumbangkan mata sulung Malaysia dengan mengalahkan Ralph Ian Mendez 21-6, 21-8 hanya dalam 17 minit.

Wong Choong Hann menjadikan kedudukan 2-0 dengan menundukkan Christopher Flores 21-11, 21-9, sebelum Muhammad Hafiz Hashim mengesahkan kemenangan Malaysia dengan mengalahkan Lloyd Escoses 21-7, 21-10.

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang turun sebagai beregu pertama negara tidak langsung tercabar ketika menang 21-8, 21-13 ke atas Christopher Flores-Reczon dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mengutip mata kelima dengan menewaskan Lloyd Escoses-Ralph Ian Mendez 21-8, 21-7.

Pada perlawanan kedua di sebelah petang, pemain berusia 19 tahun, Arif menyumbangkan mata pertamanya bersama skuad senior yang juga mata kemenangan apabila mengalahkan Teav Yong Vannak 21-8, 21-7 dalam 15 minit.

Terdahulu, Choong Hann dan Hafiz meletakkan Malaysia mendahului 2-0 selepas memenangi saingan perseorangan pertama dan kedua.

Chong Hann menewaskan Nuon Sophorn 21-8, 21-9 manakala Hafiz pula membuktikan masalah peribadi tidak langsung menjejaskan tumpuannya apabila hanya mengambil 15 minit untuk mengalahkan Troeung Veasna 21-4, 21-5.

Juara Seluruh England, Kien Keat-Boon Heong mengutip mata keempat Malaysia dengan mudah menundukkan Nuon Sophorn-Chea Bun Chanbol 21-1, 21-6, sebelum Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari melengkapkan kemenangan dengan menang 21-5, 21-3 ke atas Troeung Veasna-Teav Yong Vannak.

Sementara itu, pasukan Piala Uber Malaysia hanya akan memulakan cabaran hari ini dengan menentang India.

Empat pasukan yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir akan meraih tiket ke pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta, 11-18 Mei ini.

Bagaimanapun perebutan tiket Piala Uber lebih sukar apabila hanya tiga slot ditawarkan kepada 11 pasukan yang bertanding.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yheUgMNt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan