Sabtu, 25 November 2017

Kita mara ke suku akhir


 

ARKIB : 13/05/2008
Lee Chong Wei membalas pukulan lawannya, Seung Mo Shon dari Korea Selatan dalam saingan Piala Thomas di Stadium Istora Senayan, Jakarta semalam. (Lagi berita dan gambar di muka 31)

JAKARTA - Malaysia melayakkan diri ke suku akhir Piala Thomas, semalam tetapi dibayangi oleh 'strategi kotor' Korea Selatan, selain kekalahan mengejut pasangan utamanya, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan aksi goyah Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Istora Senayan, di sini.

Kemenangan ini juga bermakna, juara dua kali dan pilihan utama, China merupakan lawan yang bakal menanti skuad negara pada separuh akhir, Jumaat ini.

Bagaimanapun, Malaysia perlu terlebih dulu mengatasi pemenang antara Jepun dan Jerman di suku akhir.

Dua pasukan itu akan beraksi di pusingan kedua hari ini manakala Malaysia selaku juara Kumpulan B tidak beraksi dan hanya menanti sahaja di suku akhir.

Seperti yang sudah dijangka, Korea Selatan yang turun untuk kalah tidak membariskan pasukan terkuatnya apabila merehatkan juara Asia, Park Sung Hwang dan Lee Hyun Il, selain melakukan eksperimen dengan meletakkan pemain beregu sebagai perseorangan manakala perseorangan pula turun sebagai beregu.

Negara itu memecah kombinasi juara Seluruh England, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae, sebaliknya menggandingkan Jae Sung dengan pasangan lamanya, Lee Jae Jin, dan gandingan baru ini masih mampu memberi masalah kepada Tan Fook-Wan Wah, yang kalah 22-20, 10-21, 16-21.

Bagaimanapun, kedudukan Malaysia sebelum itu sudah agak selesa selepas Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann mengutip dua mata pertama. Chong Wei menumpaskan Shon Seung Mo 21-14, 21-14 manakala Choong Hann menang 21-14, 21-10 ke atas pemain simpanan, Hong Ji Hoon.

Muhammad Hafiz Hashim mengesahkan kemenangan Malaysia selepas mengutip mata ketiga dengan menundukkan pemain beregu yang dipaksa turun sebagai perseorangan, Hwang Ji Man 21-5, 21-11.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang sepatutnya melengkapkan perlawanan tanpa banyak masalah bagaimanapun dipaksa bekerja keras untuk menumpaskan satu lagi kombinasi baru Korea, Lee Yong Dae-Hong Ji Hoon 23-21, 21-19.

Ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock bagaimanapun menegaskan, pasukan negara masih berada di landasan yang baik dan kekalahan pasangan Tan Fook- Wan Wah bukan sesuatu yang membimbangkan.

"Korea memang terkenal memiliki beregu yang kuat tanpa mengira apakah kombinasi yang mereka turunkan, jadi saya tidak fikir kekalahan Tan Fook-Wan Wah sesuatu yang terlalu dibimbangkan.

"Bagaimanapun sudah tentu kita akan membuat penilaian semula mengapa mereka kalah hari ini, esok kita ada rehat sehari jadi kesempatan itu akan digunakan untuk mencari punca di mana kelemahan mereka," kata Kim Hock.

Kim Hock juga tidak menolak kemungkinan mencuba pasangan muda, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif dalam perlawanan suku akhir, bergantung kepada siapa lawan yang bakal ditemui Malaysia.

"Seperti yang saya selalu kata, kita tetap ada kelebihan kalau satu beregu menghadapi masalah kerana kita mempunyai beregu ketiga yang kuat. Mungkin kita akan menurunkan Fairuzizuan dan Zakry, tetapi ia bergantung kepada keadaan," katanya lagi.

- Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zTuTGsQy

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan