Isnin, 27 November 2017

Pei Tty ketuai kemaraan dua beregu negara

ARKIB : 28/06/2008
KUALA LUMPUR - Wong Pei Tty muncul pemain badminton negara paling cemerlang pada Terbuka Thailand di Bangkok, semalam apabila melangkah ke separuh akhir dalam dua acara.

Bagaimanapun, cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki berakhir dengan kekalahan dua pasangannya, Chan Chong Ming- Chew Choon Eng dan Hoon Thien How-Ong Soon Hock.

Gandingan Pei Tty dan Chin Eei Hui mara ke separuh akhir beregu wanita selepas dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan pasangan Denmark, Helle Nielsen-Marie Roepke 21-15, 14-21, 21-11.

Wakil Malaysia pada Sukan Olimpik dan pilihan keempat itu akan berdepan beregu Singapura, Jiang Yanmei-Li Yujia yang menang percuma ke atas pilihan kedua, Du Jing-Yu Yang dari China.

Terdahulu, Pei Tty menempatkan diri ke separuh akhir pertamanya dalam acara beregu campuran bersama pemain remaja, Lim Khim Wah.

Kombinasi mantap Pei Tty-Khim Wah mengetepikan pasangan Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen dari Denmark 21-19, 18-21, 25-23.

Pasangan itu yang hanya memulakan kempen dari pusingan kelayakan bakal berdepan cabaran sukar pilihan kedua, Xie Zhongbo- Zhang Jiewen dari China pada separuh akhir, hari ini.

Sementara itu, harapan bekas beregu nombor satu dunia, Chong Ming-Choon Eng untuk meraih kejuaraan antarabangsa pertama mereka sejak 2002 tidak kesampaian apabila tumpas 23-25, 13-21 kepada beregu nombor dua China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo.

Pasangan muda negara, Thien How-Soon Hock pula nyata bukan tandingan satu lagi gandingan handalan China, Cai Yun-Fu Haifeng apabila tewas 10-21, 18-21.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zcrfPuB9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan