Rabu, 29 November 2017

Beregu emas kembali dapat sentuhan

ARKIB : 07/08/2008
BEIJING - Pasangan badminton negara yang pernah bergelar beregu emas, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong kini berada dalam prestasi terbaik mereka menjelang saingan badminton Sukan Olimpik yang akan membuka tirai, Sabtu ini.

Jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata, kedua-dua anak didiknya itu pada pemerhatiannya telah mendapat semula 'sentuhan' sama seperti ketika mereka menjuarai Kejohanan Seluruh England tidak lama dahulu.

''Prestasi mereka pada masa ini sama seperti ketika menjuarai Seluruh England. Permainan mereka banyak meningkat dan stamina kedua-duanya juga jauh lebih baik sebelum ini," katanya ketika ditemui di pusat latihan skuad badminton negara di Kelab Badminton Gino & Nirvana di sini, semalam.

Rexy memberitahu, ketika ini kebimbangan beliau lebih kepada mengelak kedua-dua anak didiknya itu daripada mengalami tekanan keterlaluan yang pada anggapannya mampu menjejaskan persembahan semasa pertandingan.

Menyentuh tentang pertemuan pertama Kean Keat- Boon Heong dengan lawannya dari Jepun, Sakamoto Shuichi-Ikeda Shintaro, Rexy memberitahu, berdasarkan rekod, pasangan negara pernah tewas dua kali dan menang sekali dengan beregu Jepun tersebut.

''Tetapi saya tidak bimbang kerana Kien Keat-Boon Heong tewas kepada Shuichi- Shintaro pada ketika mereka bukan dalam prestasi terbaik.

"Ketika itu pasangan negara melakukan banyak kesilapan yang tidak sepatutnya," ujar Rexy.

Mengenai Choong Tan Fook- Lee Wan Wah, menurut Rexy, kedua-dua pasangan veteran itu juga menunjukkan banyak peningkatan dibantu dengan pengalaman kedua dalam Sukan Olimpik, beliau tidak nampak sebarang masalah.

''Tan Fook-Wan Wah akan menentang Lee Jae Jin- Hwang Ji Man. Ketika tewas pada final Kejohanan Badminton Asia ABC yang lalu, mereka bukan berada dalam prestasi terbaik dan saya harapkan mereka dapat memberikan yang terbaik menjelang perlawanan kelak," ujarnya.

Rexy juga mengakui paling penting pada ketika ini ialah pemain negara mengelakkan daripada mendapat kecederaan walaupun mereka diminta memberikan tumpuan pada 100 peratus pada pertandingan kelak.

''Saya harapkan rakyat Malaysia berdoa untuk kami memberikan persembahan yang terbaik walaupun tanpa kehadiran mereka di sini," tambah beliau.

- Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zt5VnWNT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan