Sabtu, 18 November 2017

Mew Choo ceriakan kem Malaysia

ARKIB : 08/03/2008
KUALA LUMPUR - Wong Mew Choo menceriakan kembali kem badminton Malaysia yang suram pada hari pertama apabila melangkah ke suku akhir Seluruh England di Birmingham, semalam.
Juara Terbuka China itu mengiringi pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei dan beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang terlebih dulu mengesahkan tiket ke peringkat lapan terbaik.
Peluang Mew Choo untuk layak ke separuh akhir juga tampak cerah apabila tidak perlu menentang pemain nombor satu dunia dan penyandang juara, Xie Xingfang dari China yang sudah pun tersingkir pada pusingan pertama.
Sebaliknya, pemain nombor lapan dunia itu akan berdepan pemain nombor 32 dunia, Hwang Hye Youn dari Korea Selatan, lawan yang tidak pernah ditemuinya. Hye Youn mara selepas menewaskan Yip Pui Yin dari Hong Kong 21-15, 23-21.
Semalam, Mew Choo dipaksa bekerja keras selama 44 minit sebelum mengetepikan pemain sedang meningkat China, Jiang Yanjiao, 22-20, 23-21.
Ini adalah kemenangan kedua Mew Choo ke atas pemain nombor 20 dunia itu daripada tiga pertemuan mereka. Mew Choo mengalahkan Yanjiao di Terbuka China 2006 tetapi tumpas pada Terbuka Denmark 2007.
Jika berjaya mara ke separuh akhir, ia akan menjadi pencapaian terbaik buat pemain berusia 25 tahun itu yang melayakkan diri ke suku akhir dalam kejohanan tahun lalu.
Sementara itu, beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui memberikan tentangan sengit kepada pasangan nombor satu dunia, Wei Yili-Zhang Yawen sebelum tunduk 21-18, 16-21, 10-21.
Dominasi China dalam saingan wanita bagaimanapun semakin berkurangan apabila juara dunia, Zhu Lin mengikuti jejak Xingfang tersingkir awal dalam saingan perseorangan.
Semalam, Zhu Lin dikejutkan 14-21, 15-21 oleh juara Terbuka Malaysia, Tine Rasmussen dari Denmark.
Dalam saingan lelaki, juara Olimpik, Taufik Hidayat akan berdepan Chong Wei di suku akhir selepas berhempas pulas untuk menewaskan Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-17, 15-21, 21-19.
"Saya suka bermain dengan Chong Wei kerana corak permainannya, tambahan lagi dia juga rakan rapat saya.
"Ketika ini, keadaan fizikal Chong Wei sangat mantap, malah dia dalam laluan menuju kemuncak sedangkan saya sedang mengalami kemerosotan prestasi,'' kata Taufik.
Turut meneruskan kemaraan adalah pemain nombor satu dunia dan penyandang juara, Lin Dan yang menewaskan Eric Pang dari Belanda 21-9, 21-12.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan