Sabtu, 25 November 2017

Gembira berakhir duka


 

ARKIB : 17/05/2008
Gembira berakhir duka
seketika... kegembiraan Mohd. Zakry Latif (kanan) dan Mohd. Fairuzizuan Tazari menewaskan beregu kedua China tidak lama apabila perseorangan negara, Muhd. Hafiz Hashim tewas kepada Chen Jin dalam perlawanan penentuan. (Gambar kanan) Lee Chong Wei meraikan kejayaan menewaskan Lin Dan pada separuh akhir Piala Thomas di Stadium Istora Senayan, Jakarta, semalam.

JAKARTA - Strategi yang terpaksa dirombak pada saat akhir ekoran masalah kesihatan Choong Tan Fook, antara faktor yang menyumbang kekalahan Malaysia kepada China pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas penuh dramatik, semalam.

Walaupun tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan, namun ketua jurulatih beregu Malaysia, Rexy Mainaky mengakui, peluang untuk mengutip dua mata daripada acara beregu mungkin lebih cerah jika percaturan asal untuk menurunkan Koo Kien Keat-Tan Fook sebagai beregu kedua mampu dilakukan.

Mengikut strategi asal, gandingan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif sepatutnya bertindak sebagai beregu pertama untuk menentang Fu Haifeng-Cai Yin, yang mana pasangan muda ini dijangka mampu memberi cabaran berdasarkan prestasi terkini mereka.

Tan Fook pula sepatutnya membentuk gandingan bersama Kien Keat, selepas kombinasi ini mempamerkan permainan yang cemerlang ketika mengalahkan beregu Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto pada suku akhir.

Bagaimanapun, kata Rexy, Tan Fook tidak dapat diturunkan pada saat akhir kerana demam manakala Lee Wan Wah sememangnya terpaksa diketepikan sejak awal akibat kecederaan.

"Saya memang tidak bercadang untuk menurunkan Tan Boon Heong dalam perlawanan ini kerana dia nampak tidak bersedia untuk menghadapi satu perlawanan besar, jadi kami percaya Kien Keat-Tan Fook akan membentuk gandingan kedua yang mantap manakala Fairuzizuan dan Zakry boleh diharap untuk mencari mata dalam beregu pertama.

"Bagaimanapun masalah kesihatan Tan Fook menyebabkan strategi asal tidak dapat dilakukan dan Kien Keat perlu kembali bersama Boon Heong. Nyata, Boon Heong sangat gemuruh dan tidak dapat memberikan permainan terbaiknya hari ini. Saya memang amat kecewa kerana acara beregu pertama yang sepatutnya menjadi kekuatan terbesar buat pasukan Malaysia bertukar menjadi kelemahan terbesar.

"Kien Keat-Boon Heong terus mengecewakan saya. Kalau begini keadaan mereka membawa ke Sukan Olimpik, ia satu masalah besar. Nampaknya kami perlu duduk berbincang selepas ini, saya akan adakan pertemuan hati ke hati dengan mereka untuk mencari punca masalah," kata kata Rexy.

Perkiraan awal Malaysia sebelum turun ke gelanggang semalam adalah untuk mendapatkan dua mata menerusi acara beregu, selain mencuri satu mata daripada acara perseorangan.

Perkiraan itu, pada awalnya kelihatan mampu dicapai selepas Lee Chong Wei memberikan permulaan baik buat Malaysia selepas menumbangkan juara dunia, Lin Dan 21-12, 21-14 hanya dalam masa 36 minit untuk memberi mata pertama negara.

Malangnya, aksi gugup Kien Keat-Boon Heong, yang melakukan banyak kesilapan dan gemuruh sepanjang perlawanan menyaksikan pasangan muda ini tumpas 16-21, 17-21 kepada juara dunia 2006, Fu Haifeng-Cai Yun untuk kedudukan terikat 1-1.

Bao Chunlai nyata bukan tandingan buat perseorangan veteran negara, Wong Choong Hann apabila mendominasi gelanggang sepenuhnya, terutama pada set kedua ketika menang 21-18, 21-7 untuk meletakkan China 2-1 di depan.

Fairuzizuan-Zakry yang hanya membuat penampilan sulung pada pusingan akhir Piala Thomas langsung tidak gugup ketika menumbangkan pasangan nombor sembilan dunia, Xie Zhongbo-Guo Zhendong 21-17, 21-15 untuk kembali menyamakan kedudukan 2-2.

Tiada keajaiban dapat dilakukan Muhammad Hafiz Hashim apabila turun dalam perlawanan penentuan apabila menyerah mudah 12-21, 16-21 kepada juara Seluruh England dan pemain nombor empat dunia, Chen Jin.

"Saya kecewa kerana kekalahan kami telah menukar rentak pasukan. Saya tidak tahu apa yang tidak kena dengan kami hari ini kerana sebelum turun ke gelanggang semua baik saja dan kami tidak mempunyai sebarang masalah.

"Bagaimanapun ini merupakan pengalaman yang amat penting buat saya dan Tan Boon Heong, sekurang-kurangnya kami sudah merasai perasaan bermain sebagai beregu utama dalam perlawanan sebesar separuh akhir Piala Thomas. Situasinya memang amat tertekan dan saya harap kami akan lebih matang selepas ini," kata Kien Keat.

- Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zWMRCboP

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan