Sabtu, 25 November 2017

Misi runtuh tembok China - Percaturan berisiko terbukti benam Jepun 3-0

ARKIB : 15/05/2008

MANTAP... Gandingan Koo Keat Kien (kiri) dan Choong Tan Fook membuahkan hasil apabila mudah menundukkan pasangan Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto 21-13, 21-11 pada perlawanan suku akhir Piala Thomas di Stadium Istora Senayan, Jakarta, semalam.
- AFP

JAKARTA - Percaturan berisiko yang diambil hanya beberapa jam sebelum perlawanan bermula berjaya mengejutkan Jepun dan membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas mencatat kemenangan 3-0 di suku akhir, semalam.

Pasukan negara membuat perjudian besar apabila menggandingkan Koo Kien Keat dengan Choong Tan Fook sebagai beregu pertama, manakala Tan Boon Heong-Mohd. Zakry Abdul Latif disenarai sebagai beregu kedua.

Kombinasi baru Kien Keat-Tan Fook nyata mengejutkan beregu utama Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto 21-13, 21-11 untuk memberikan mata kedua Malaysia selepas terdahulu, pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei meletakkan pasukan negara di depan dengan selepas menumpaskan Shoji Sato 21-10, 21-16.

Ketua pasukan, Wong Choong Hann mengesahkan kemenangan Malaysia dengan menundukkan Kenichi Tago 21-13, 21-18 dalam perseorangan kedua, sekali gus membawa kita menempah pertemuan dengan penyandang juara dan pilihan pertama, China esok.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Tan Fook mengakui, strategi untuk menggandingkannya dengan Kien Keat hanya diketahui pagi semalam, beberapa jam sebelum turun ke gelanggang.

"Saya terkejut bila diberitahu akan bermain dengan Kien Keat dan hanya mengetahui tentang perkara itu pagi tadi. Pada awalnya saya agak gemuruh juga kerana kami tidak pernah bergandingan sebelum ini, tetapi saya tetap menerima arahan secara profesional.

"Kien Keat pemain yang bagus, sangat pantas dan amat bersemangat, ini membolehkan gandingan kami menampilkan permainan yang baik. Saya percaya, strategi ini benar-benar mengejutkan Jepun, walaupun rombakan ini agak berisiko tetapi saya harus bersetuju bahawa ia juga adalah idea yang bijak," kata Tan Fook.

Berdepan Jepun, Malaysia sememangnya sudah menyedari sejak awal bahawa acara beregu memainkan peranan utama kerana lawan mempunyai kelebihan psikologi memandangkan

beregu mereka memiliki rekod yang baik ke atas pasangan negara.

Tan Fook-Wan Wah mungkin tidak pernah bertemu Shintaro-Shuichi, tetapi pasangan utama Jepun itu memegang rekod 2-2 ke atas Kien Keat-Boon Heong, termasuk memenangi dua pertemuan terakhir mereka di Seluruh England (Mac, 2008) dan Kejohanan Dunia 2007.

Malah, beregu kedua Jepun, Keita Masuda-Tadashi Ohtsuka yang sepatutnya menentang Kien Keat-Boon Heong dalam saingan suku akhir semalam, turut memegang rekod ke atas pasangan negara itu apabila memenangi satu-satunya pertemuan mereka di Terbuka Perancis, November lalu.

Tan Fook menegaskan, keputusan merehatkan gandingan asalnya, Lee Wan Wah semalam tiada kaitan dengan prestasi pemain itu yang dikatakan merosot, sebaliknya ia hanya sebahagian daripada strategi jurulatih.

Malah, kata Tan Fook, strategi Malaysia itu kini membuka mata lawan betapa kita mempunyai lebih banyak pilihan untuk digunakan apabila bertemu China di separuh akhir nanti.

"Kita mampu memberikan cabaran yang kuat daripada mana-mana kombinasi yang akan digunakan dalam acara beregu, itu adalah kelebihan Malaysia ketika ini yang saya percaya ia cukup membimbangkan China.

"Saya tidak tahu sama ada akan kembali bersama Wan Wah atau digandingkan dengan Kien Keat sekali lagi pada saingan separuh akhir nanti, tetapi yang pasti saya lebih bersedia untuk berpasangan dengan sesiapa pun selepas ini," kata Tan Fook.

Semalam, China mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas mengetepikan Thailand 3-0 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Juara dunia, Lin Dan menghadiahkan mata pertama China selepas menundukkan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana 21-15, 21-14, sebelum bekas pasangan nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun menjadikan kedudukan 2-0 dengan menang 21-12, 21-17 ke atas Tesana Panvisavas-Nuttaphon Narkthong.

Bao Chunlai mengesahkan kemenangan China hanya dalam masa 32 minit, menumpaskan Poompat Sapkulchananart 21-14, 21-11.

- Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zTyDYxtM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan