Rabu, 6 Disember 2017

Tiga pemain senior bersara

ARKIB : 26/09/2008
 
KUALA LUMPUR - Pembentukan wajah baru skuad badminton Malaysia bakal bermula dari sekarang apabila tiga pemain senior yang selama ini menjadi tunjang dan anggota tetap pasukan berundur, sekali gus memberi laluan kepada pemain-pemain muda.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini bakal mengumumkan persaraan tiga pemain yang amat berpengaruh dalam arena badminton tanah air dan antarabangsa iaitu beregu handalan, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah serta jaguh perseorangan, Wong Choong Hann.

Pengunduran ketiga-tiga pemain tersebut, yang telah memberi sumbangan besar kepada Malaysia dan sering membawa cabaran negara dalam kejohanan utama seperti Sukan Olimpik, Piala Thomas, Sukan Asia serta Kejohanan Dunia, disahkan oleh pengurus besar BAM, Kenny Goh, semalam.

Malah, badan badminton kebangsaan itu juga akan mengumumkan wajah-wajah baru yang bakal menjadi tonggak utama Malaysia selepas ini, iaitu selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan di Bukit Kiara.

Mesyuarat yang dipengerusikan presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh itu juga bakal membincangkan isu utama yang masih tertangguh, iaitu penstrukturan semula kejurulatihan BAM, yang sekali gus akan menentukan kedudukan ketua jurulatih, Yap Kim Hock dan jurulatih skuad projek 2010-2012, Rashid Sidek.

"Esok kita akan mengumumkan persaraan tiga pemain senior, Choong Tan Fook, Lee Wan Wah serta Wong Choong Hann, dan dalam masa yang sama kita juga akan membincangkan mengenai muka-muka baru yang bakal diserapkan ke dalam skuad utama.

"Turut akan dibincangkan pastinya mengenai penstrukturan jurulatih BAM, yang tidak sempat dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini. Bagaimanapun, kami hanya akan berbincang dan bukan membuat keputusan kerana keputusan akhir hanya bergantung kepada hasil mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara) yang belum ditetapkan tarikhnya," kata Kenny.

Pengunduran Tan Fook-Wan Wah, pasangan nombor enam dunia dan bekas juara Asia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana selain faktor usia, yang mencecah 32 dan 33 tahun, kedua-dua pemain itu juga tidak lagi mendapat tempat dalam perancangan ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky.

Tan Fook-Wan Wah, yang telah beraksi dalam tiga Sukan Olimpik (2000, 2004 dan 2008) tetapi tidak pernah merangkul sebarang pingat, sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding pada kejohanan sulung Siri Super 2009 - Terbuka Malaysia, Januari ini dan akan menentukan masa depan mereka selepas itu.

"Pada ketika ini, saya tak dapat menjawab sama ada kami akan bertanding pada Terbuka Malaysia atau tidak. Bagaimanapun esok (hari ini), saya akan beritahu anda semua perancangan kami, baik mengenai pelan persaraan dan juga kejohanan, iaitu selepas mengadakan pertemuan dengan jurulatih dan BAM," kata Wan Wah.

Sementara itu Choong Hann, kapten Piala Thomas Malaysia pada 2006 dan 2008 sudah pun memberi bayangan awal mengenai persaraannya dengan memilih untuk beraksi dalam liga kelab badminton di Jerman bermula hujung bulan ini.

Dengan ketiadaan Tan Fook-Wan Wah, pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif kini bersedia untuk memainkan peranan lebih penting terutama pada kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas.

Dalam perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei masih menjadi tunjang pasukan Malaysia sambil mengharapkan sokongan lebih mantap dapat diberikan pemain-pemain muda seperti Chong Wei Feng, Mohd. Arif Abdul Latif, Tan Chun Seang atau Liew Darren yang bakal mendapat tempat di dalam skuad elit.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TVoEpCq
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan