Selasa, 12 Disember 2017

Mew Choo tersingkir

ARKIB : 30/10/2008
KUALA LUMPUR - Ratu badminton Malaysia, Wong Mew Choo mengalami kejutan terbesar pada Kejohanan Terbuka Perancis selepas tewas kepada pemain tidak ternama Scotland, Susan Hughes pada pusingan pertama di Paris, semalam.

Cabaran negara pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM688,000) itu bagaimanapun diteruskan jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang tidak menghadapi masalah dalam kempen awal mempertahankan kejuaraan.

Turut melangkah ke pusingan kedua, pasangan utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan pemain perseorangan, Muhammad Hafiz Hashim.

Mew Choo yang turun sebagai pilihan kelapan terus gagal mencari kejuaraan antarabangsa pertamanya musim ini selepas tunduk 12-21, 19-21 kepada Hughes dalam masa 36 minit.

Kekalahan terbaru ini meningkatkan lagi kebimbangan tentang keadaan fizikal pemain berusia 26 tahun itu yang dihimpit kecederaan lamanya.

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat juara Terbuka China 2007 itu selepas pada peringkat awal, selepas tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Macau dan Terbuka Jepun, bulan lalu.

Kekecewaan Malaysia bagaimanapun ditebus oleh pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei yang hanya memerlukan 26 minit untuk menewaskan Arvind Bhat dari India 21-14, 21-3.

Kemenangan tersebut akan menemukan penyandang juara itu dengan pemain bukan pilihan, Chan Yan Kit dari Hong Kong yang mengetepikan pemain Kanada, Bobby Milroy 21-17, 21-9.

Sementara itu, beregu di bawah pemerhatian, Kien Keat-Boon Heong menyingkirkan pasangan England, Richard Eidestedt-Andrew Ellis 21-18-21-14.

Hafiz yang mempamerkan aksi kurang memberangsangkan pada Terbuka Denmark, minggu lalu menempah pertemuan dengan juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia selepas menumpaskan pemain Perancis, Simon Maunoury 21-16, 21-14.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz512DVMahl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan