Selasa, 5 Disember 2017

Mohd. Arif melangkah mudah

ARKIB : 11/09/2008
KUALA LUMPUR - Pemain remaja negara, Mohd. Arif Abdul Latif tidak perlu mengerah keringat untuk melangkah ke pusingan ketiga badminton Terbuka Taiwan semalam selepas lawannya, jaguh veteran Hong Kong, Ng Wei menarik diri.

Arif mengiringi jaguh veteran Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin Hashim yang turut melayakkan diri ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-13, 21-17.

Selepas mengharungi dua pusingan awal yang mudah, Arif, 19, kini akan berdepan lawan dari Jepun, Koichi Saeki, yang mengetepikan seorang lagi pemain remaja negara, Pei Wee Chung.

Cabaran dua lagi perseorangan remaja Malaysia, Tan Chun Seang dan Teo Kok Siang bagaimanapun berakhir di pusingan kedua ekoran akur 21-17, 15-21, 19-21 kepada Takuma Ueda manakala Kok Siang tewas kepada pemain tuan rumah, Hsu Jen Hao.

Cabaran perseorangan wanita negara pula diteruskan Julia Wong dan Lydia Cheah yang melangkah ke pusingan kedua.

Dalam saingan beregu lelaki, pasangan remaja negara, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong melakar kejutan terbesar dengan menumbangkan pilihan ketiga, Yonatan Suryatama Dasuki-Rian Sukmawan dari Indonesia 21-17, 21-15.

Turut mara, naib juara Terbuka Singapura, Gan Teik Chai-Lin Woon Fui yang menewaskan beregu Indonesia, Pernando Kurniawan-Lingga Lie, manakala Hoon Thien How Hoon-Ong Soon Hock menumpaskan pasangan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta- Chayut Triyachart.

Cabaran beregu lelaki Malaysia juga diteruskan juara remaja Asia, Mak Hee Chun-Kok Siang, yang menyingkirkan pasangan Hong Kong, Hui Wai Ho-Wong Wai Hong, manakala Tan Bin Shen-Khoo Chung Chiat pula gagal menyekat beregu berpengalaman, Tony Gunawan-Candra Wijaya.

Dalam saingan beregu campuran, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei mengejutkan pilihan ketiga, Chen Hung Ling-Chou Chia Chi dari Taiwan tetapi dua lagi beregu negara, Razif-Chong Sook Chin dan Kok Siang-Sannatasah Saniru gagal meneruskan cabaran.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50OHTOucr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan