Khamis, 14 Disember 2017

Liew curi tumpuan, 18 pemain negara mara

ARKIB : 08/01/2009
KUALA LUMPUR - Pemain muda negara, Liew Daren mencuri tumpuan pada hari pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam selepas mengejutkan jaguh nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana untuk mengetuai kemaraan 18 wakil Malaysia ke pusingan kedua.

Daren, pemain nombor 104 dunia yang hanya membuat penampilan kedua pada kejohanan Siri Super dan baru memulakan pengalaman bergelar pemain pasukan senior, menundukkan pemain nombor 13 dunia, Boonsak 24-22, 19-21, 21-17 dalam masa 1 jam, 9 minit untuk mengiringi kemaraan tiga lagi perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang gagal melepasi pusingan kelayakan dalam penampilan sulung Siri Super di Terbuka Malaysia 2008, kini akan menentang pemain Taiwan, Hsueh Hsuan Yi pada pusingan kedua hari ini.

"Ini hanyalah kali kedua saya mendapat peluang beraksi dalam kejohanan Siri Super, harap kejayaan hari ini akan membantu saya mendapat tempat secara regular pada kejohanan Siri Super selepas ini," kata Daren, yang bakal beraksi pada Terbuka Korea minggu depan.

Sementara itu jaguh nombor satu dunia, Chong Wei dipaksa bekerja keras dalam kempen mempertahankan kejuaraan apabila menundukkan pemain muda Indonesia

Andre Kurniawan Tedjono 21-17, 21-18. Menanti pemenang pingat perak Olimpik itu pada pusingan kedua hari ini, Nguyen Tien Minh dari Vietnam.

Juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim juga bergelut untuk melepasi halangan awal Sho Sasaki dari Jepun sebelum menang 21-13, 19-21, 22-20 untuk bertemu Simon Santoso dari Indonesia, manakala Kuan Beng Hong mudah mengetepikan jaguh Hong Kong, Ng Wei 21-11, 21-16 dan bakal berdepan jaguh Korea, Park Sung Hwan.

Penyertaan lima lagi perseorangan negara, Wong Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob serta Chong Wei Feng bagaimanapun berakhir seawal pusingan pertama.

Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$200,000 (RM700,000) itu turut diteruskan empat beregu lelaki, diketuai juara Masters Akhir, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen, Hoon Tien How-Lim Khim Wah, Mohd. Razif Abdul Latif-Chan Peng Soon. Kien Kiet-Boon Heong menyingkirkan rakan senegara, Mohd. Lufti Zaim Abdul Khalid-Teo Kok Siang 21-13, 21-11 untuk bertemu Razif-Peng Soon, hari ini.

Bagaimanapun cabaran pasangan senior dan juara Terbuka Malaysia 2004, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah berakhir di tangan beregu England, Anthony Clark-Nathan Robertson 20-22, 19-21.

Dalam saingan beregu wanita, Wong Pei TTy-Chin Eei Hui meneruskan cubaan merampas takhta nombor satu dunia dengan melayakkan diri ke pusingan kedua, mengetuai tiga lagi pasangan remaja, Goh Liu Ying-Ng Hui Lin, Nairul Suhaida Abdul Latif-Florah Ng dan Nairul Suhaida Abdul Latif-Amelia Alicia Anscelly.

Juara Masters Akhir itu mudah mengetepikan pasangan Taiwan, Chiang Mei Hui-I Chun Liu 21-8, 21-16, dan dijangka tidak menghadapi masalah apabila berdepan gandingan Bulgaria/Denmark, Petya Nedelcheva-Mie Schjoett Kristensen.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita pula bakal diketuai oleh Julia Wong dan Lydia Cheah, manakala Mohd. Razif Abdul Latif-Woon Khe Wei, Hoon Thien How-Chin Eei Hui, Lim Khim Wah-Wong Pei Tty dan Koo Kien Keat-Ng Hui

Lin melayakkan diri ke pusingan kedua beregu campuran.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51IPMeTNF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan