Selasa, 12 Disember 2017

Fairuzizuan-Zakry kini beregu No. 1 negara

ARKIB : 03/11/2008
KUALA LUMPUR - Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif mungkin gagal mempamer prestasi memberangsangkan sejak kejayaan menjuarai Terbuka Indonesia dan Singapura Jun lalu, namun mereka kini bergelar beregu lelaki nombor satu Malaysia.

Pada ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan Khamis lalu, Fairuzizuan-Zakry memintas Koo Kien Keat- Tan Boon Heong dengan melonjak ke ranking kelima dunia.

Pasangan muda negara itu naik lima anak tangga berbanding ranking ke-10 minggu lalu, manakala Kien Keat-Boon Heong, yang gagal mempamer aksi meyakinkan akhir-akhir ini jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam dunia.

Pasangan senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, yang tidak menyertai sebarang kejohanan sejak keluar meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir September lalu, jatuh dua anak tangga ke ranking ke-10.

Sementara itu, Datuk Lee Chong Wei kekal sebagai pemain nombor satu dunia meninggalkan juara Olimpik, Lin Dan di tempat kedua, manakala Wong Mew Choo naik dua anak tangga ke ranking ketujuh perseorangan wanita, yang turut menyaksikan pemain Hong Kong, Zhou Mi merampas takhta nombor satu dunia.

Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang merangkul kejuaraan antarabangsa pertama mereka pada Terbuka Denmark minggu lalu turut menikmati kenaikan ranking dengan melonjak ke tangga kelapan, berbanding 10 minggu lalu.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz512i6zttB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan