Selasa, 12 Disember 2017

Remaja kita mara

ARKIB : 30/10/2008
KUALA LUMPUR - Selepas menduduki tangga ketiga acara berpasukan, Malaysia meneruskan kempen Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Pune, India dengan empat perseorangan lelakinya melangkah ke pusingan ketiga, semalam.

Pilihan ke-5/8, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengetuai kemaraan Malaysia selepas menang mudah 21-13, 21-1 ke atas Awais Zahid dari Pakistan untuk bertemu Evert Sukamta dari Indonesia.

Perseorangan kedua negara, Muhd. Syawal Ismail, pilihan ke-9/16 pula mengetepikan Choi Seung Il dari Korea Selatan 21-17, 17-21, 21-19 untuk menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain Indonesia, Ari Trisnanto.

Goh Soon Huat turut melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan Kamil Vehbi Akcebe dari Turki 21-10, 21-17, namun bakal menentang pilihan utama, Gao Huan dari China.

Cabaran perseorangan lelaki Malaysia juga diteruskan Kuan Kam Chung yang mengejutkan pilihan ke-9/16, Kasper Lehikonen dari Finland 21-15, 21-9 untuk berdepan pemain Jepun, Shu Wada.

Dalam saingan perseorangan perempuan, Tee Jing Yi muncul wakil tunggal Malaysia melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain pilihan, Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 24-22, 12-21, 21-19.

Jing Yi, 18, yang turut beraksi dalam saingan beregu kini akan menentang pemain Indonesia, Lindaweni Fanetri.

Sementara itu, Pang Lin Zheng-Vee Vian Chong pula melayakkan diri ke pusingan kedua beregu campuran selepas menumpaskan Kristian Kaljurand-Gerda Teder dari Estonia 21-14, 21-11.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz512B0te9Y

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan