Isnin, 11 Disember 2017

Hafiz dipaksa berhempas pulas


 

ARKIB : 23/10/2008
Hafiz Hashim

KUALA LUMPUR - Bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim bergelut untuk melepasi halangan awal pemain India, Arvind Bhat dalam perlawanan pembukaan badminton Terbuka Denmark di Odense, semalam.

Seorang lagi pemain negara, Wong Choong Hann juga cemas apabila tewas di set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya untuk menewaskan pemain India Anand Pawar.

Bagaimanapun dua beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif tidak menghadapi masalah melepasi lawan masing-masing.

Hafiz, yang terperosok ke ranking 34 dunia ketika ini tewas di set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 18-21, 21-15, 21-19 ke atas pemain nombor 36 dunia itu.

Choong Hann tunduk 17-21 di set pertama kepada Anand namun bangkit untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua apabila memenangi dua set berikutnya 21-12, 21-18.

Dengan penarikan diri rakan senegara, Lee Chong Wei, Hafiz kini akan berdepan pemenang di antara dua pemain kelayakan, Scott Evans (Ireland) atau Hans- Kristian Vittinghus dari Denmark pada pusingan kedua hari ini.

Penampilan sulung Hafiz bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menyaksikan dia tersingkir pada pusingan pertama China Masters, bulan lalu dan tidak bertanding di Macau akibat kecederaan.

Sementara itu, proses kebangkitan Kien Keat-Boon Heong bermula baik di Denmark selepas menang mudah 21-10, 21-16 ke atas Michael Fuchs-Ingo Kindervater dari Jerman.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Macau dua minggu lalu, cabaran Siri Super Denmark lebih sukar buat Kien Keat-Boon Heong, yang bakal berdepan pemenang di antara Peter Buur Steffensen-Rasmus Mangor Andersen dari Denmark atau Baptiste Careme-Laurent Constantin. dari Perancis.

Fairuzizuan-Zakry pula menewaskan pasangan England, Robert Adcock-Robin Middleton untuk bertemu beregu tuan rumah, Anders Kristiansen-Simon Mollyhus.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz510P7Wd00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan