Isnin, 20 Mac 2017

James Chua juara GP Kebangsaan

ARKIB : 28/01/2002
JAMES Chua sekali lagi membuktikan kehebatannya di pertandingan tempatan apabila muncul juara Kejohanan Badminton Grand Prix Kebangsaan 2001 dengan menumpaskan pemain veteran, Ong Ewe Hock pada perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

James, 23, yang sebelum ini pernah menjuarai acara perseorangan Sukan Malaysia 1998, Terbuka Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang 2001 menang 3-1 - kemenangan ketiga ke atas Ewe Hock untuk meraih wang kemenangan RM7,000.

Pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu memulakan pemburuannya dengan memenangi set pertama 7-5 walaupun ketinggalan 3-5 sebelum itu.

Persaingan di set kedua lebih mudah apabila Ewe Hock banyak melakukan kesilapan di jaring untuk membolehkannya mendahului 6-3 sebelum menang 7-4.

Ewe Hock dari Pulau Pinang berjaya mencuri satu set apabila memenangi set ketiga 7-4 tetapi James memastikan kejuaraan menjadi miliknya di set keempat setelah menang 7-0 dengan hanya dua pertukaran servis.

``Saya sudah membuktikan kemampuan saya di pertandingan tempatan. Saya berhadap akan mendapat lebih banyak peluang beraksi di kejohanan antarabangsa selepas ini,'' kata James.

Ewe Hock, juara Terbuka Malaysia 1996 dan 2001 terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan memperoleh wang kemenangan RM3,600.

Gelaran juara beregu lelaki pula menjadi milik gandingan Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun yang menewaskan Jeremy Gan-Ng Kean Kok 8-7, 7-1, 7-5 untuk memenangi RM11,000.

Sementara itu, Lee Yin Yin mempertahankan gelaran juara berseorangan wanita apabila menewaskan Wong Mew Choo 7-3, 7-0, 7-1 untuk membawa pulang wang kemenangan RM4,000.

Beregu berpengalaman, Lim Pek Siah-Ang Li Peng pula menewaskan rakan sepelatih, Norhashikin Amin dan Wong Pei Tty 4-7, 7-2, 4-7, 7-1, 8-6 untuk muncul juara acara beregu wanita dan meraih wang kemenangan RM4,800.

Pengalaman juga menjadi kelebihan untuk gandingan Chan Chong Ming-Pek Siah menjuarai acara campuran menewaskan pasangan muda Mohd. Zakry Latifi-Chin Eei Hui 8-6, 7-2, 3-7, 4-7, 7-4 untuk memenangi RM3,200.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4br4HTaIh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan