Jumaat, 31 Mac 2017

Badminton Cabaran Elit - Choong Hann nyaris terima padah



ARKIB : 04/06/2003

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

PEMAIN nombor satu negara, Wong Choong Hann nyaris dikejutkan oleh dua pemain remaja apabila diheret ke perlawanan rubber-set sebelum memenangi kedua-dua perlawanan pembukaannya pada Kejohanan Badminton Cabaran Elit 2003 di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Choong Hann, 25, antara tiga pemain perseorangan lelaki yang bakal beraksi dalam Kejohanan Dunia di Birmingham bulan depan dipaksa bertarung hampir satu jam setengah sebelum menundukkan Tan Zhao Rong dan Yeoh Kay Bin.

Dalam saingan sesi pagi, juara Terbuka China itu menang 17-14, 10-15, 15-9 ke atas Zhao Rong dan sekali lagi dipaksa berhempas-pulas di sebelah petang untuk mengalahkan Kay Bin, 15-6, 2-15, 15-11.

Juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim bagaimanapun mudah melepasi cabaran sulungnya dengan menewaskan K. Yogendran 15-3, 15-7.

Namun, Yogendran memaksa seorang lagi wakil negara ke Birmingham, Lee Tsuen Seng bekerja-keras pada sesi petang sebelum tewas rubber-set 11-15, 15-9, 9-15.

Dalam satu lagi saingan perseorangan senior, pemain Nusa Mahsuri, Mohd. Rosli Hashim dipaksa berhempas-pulas menewaskan juara kebangsaan, Lee Chong Wei 4-15, 15-4, 15-10 pada sesi pagi dan menang 15-12, 15-3 ke atas Zhao Rong.

Sementara itu dalam cabaran beregu lelaki senior, kedua-dua pasangan utama negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Choong Tan Fook Lee Wan Wah menang mudah dalam kedua-dua perlawanan hari pertama.

Bekas beregu nombor satu dunia, Chong Ming-Choon Eng kini mendahului Kumpulan A dengan menewaskan Ong Soon Chiang-Lok Chong Hong 15-5, 15-5 sebelum menang 15-5, 15-11 ke atas Mohd. Razif Latif-Chin Shi Weng.

Tan Fook-Wan Wah pula mengalahkan Mohd. Razif-Shi Weng 15-6, 15-4 dan Soon Chiang-Chong Hong 15-5, 15-11. Kedua-dua beregu akan bertemu hari ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cxxIngkc© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan