Khamis, 23 Mac 2017

Kalahkan Thailand 5-0 -- Malaysia ke separuh akhir



ARKIB : 15/05/2002
CHAN CHONG MING (kiri) dan Chew Choon Eng berpelukan selepas menewaskan pasangan Thailand, Pramote Teerawiwatana dan Tesana Panvisvas 8-6, 8-6, 7-5 untuk mata kedua negara dalam perlawanan kumpulan B Badminton Piala Thomas di Stadium Tianhe, Guangzhou, semalam. Malaysia menang 5-0. - Gambar Bernama.

Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
Guangzhou, China
Piala Thomas/Uber 2002
9 - 19 Mei
GUANGZHOU - Malaysia berjaya melepasi misi awal Piala Thomas apabila melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan Thailand 5-0 untuk muncul naib juara Kumpulan B di Gimnasium Tianhe, semalam.

Laluan berduri bagaimanapun menanti pasukan negara di separuh akhir esok apabila berdepan pilihan pertama, China, yang muncul juara Kumpulan A selepas menumpaskan Korea Selatan 4-1.

Indonesia yang muncul juara Kumpulan B selepas mengalahkan Jerman 5-0 akan bertemu juara Eropah, Denmark, yang turut menang menerusi keputusan 5-0 ke atas Sweden pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam.

Ketua pasukan, Ong Ewe Hock yang menjadi tumpuan kritikan selepas bermain buruk ketika tumpas kepada Taufik Hidayat dalam pertemuan dengan Indonesia, Ahad lalu mengutip mata kemenangan Malaysia dengan menundukkan Anupap Thiraratsakul 7-0, 7-3, 7-3.

Sebelum itu pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan dengan meraih mata pertama menundukkan Boonsak Polsana 7-5, 7-1, 7-3.

Beregu nombor satu dunia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dipaksa mengharungi perlawanan yang amat mendebarkan sebelum mengetepikan beregu veteran Thailand, Tesana Panvisvas-Pramote Teerawiwatana 8-6, 8-6, 7-5 untuk mengutip mata kedua pasukan negara.

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang kembali digandingkan sejak Terbuka Jepun, bulan lalu turut mempamer aksi mencemaskan dan diheret ke permainan empat set sebelum menang 8-7, 5-7, 8-6, 7-2 ke atas Khunakorn Sudhisodhi-Patapol Ngernrisuk.

Pemain Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin Hashim yang diturunkan buat kali pertama melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia dengan menundukkan pemain muda, Jakrapan Thanathiratham 7-5, 7-2, 7-4 dalam perseorangan ketiga.

Ini adalah kali ke-14 kita melayakkan diri ke separuh akhir sejak Piala Thomas diperkenalkan pada 1949, kejayaan yang seharusnya menebus kekecewaan kandas pada peringkat kumpulan dalam kejohanan di tempat sendiri, dua tahun lalu.

Biarpun mempamer aksi mencemaskan, kemampuan Tan Fook-Wan Wah untuk bermain dalam perlawanan kompetitif sejak Wan Wah pulih daripada kecederaan pastinya berita yang melegakan Malaysia apabila berdepan China, yang dijangka membuat kejutan dalam barisan beregunya seperti yang dilakukan pada pertemuan dengan Korea.

Aksi konsisten Choong Hann, yang hanya melepaskan satu set daripada tiga perlawanan turut memberi keyakinan kepada Malaysia untuk mengutip mata pada pertemuan menentang pemain nombor satu dunia, Xia Xuanze, yang turut memenangi kesemua perlawanan Kumpulan A dengan hanya melepaskan dua set.

``Kita menjangkakan kemenangan tipis tetapi menang 5-0 sesuatu yang amat melegakan,'' kata jurulatih negara, Indra Gunawan.

Menurut Indra, pertemuan dengan China sudah diduga dan pasukan negara bersedia untuk menghadapi pasukan tembok China.

``Kita sudah bersedia untuk bertemu siapa saja di separuh akhir, China, Korea Selatan ataupun Denmark. Hari ini keputusan perlawanan menemukan kita dengan China, dan kami bersedia untuk berdepan pasukan itu,'' kata Indra. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cA0xLH7R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan