Ahad, 19 Mac 2017

Badminton Kelayakan Piala Thomas: Hock Kin tidak disenarai


 

ARKIB : 13/11/2001
YONG HOCK KIN (kiri) yang baru dimahkota sebagai juara badminton Terbuka Thailand kelmarin, bersama-sama Indra Gunawan sekembali mereka dari Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

BIAR pun baru menjuarai Terbuka Thailand, Yong Hock Kin tidak akan mendapat tempat dalam pusingan kelayakan kejohanan badminton Piala Thomas di Melbourne, Februari depan.

Penasihat badminton negara, Indra Gunawan berkata, selepas berehat panjang akibat kecederaan, pemain itu masih belum bersedia untuk diturunkan dalam kejohanan berpasukan.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan Hock Kin tetap berpeluang beraksi pada pusingan akhir jika berjaya membuktikan kemampuannya menjelang kejohanan tersebut.

``Untuk Februari ini (kelayakan Piala Thomas) dia tidak bersedia,'' katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang sekembalinya dari Bangkok semalam.

``Tetapi dia berpeluang beraksi dalam pusingan akhir jika mempamer aksi meyakinkan, malah dia juga boleh bermain di Sukan Asia atau Komanwel kalau berkelayakan,'' katanya lagi.

Menurut Indra, kejayaan pada Terbuka Thailand hanya satu permulaan buat Hock Kin yang masih perlu memperbaiki permainannya untuk kembali berada pada kedudukan terbaik.

Katanya, pemain veteran itu, yang baru pulih daripada kecederaan lutut akan dihantar menyertai beberapa kejohanan utama seperti Seluruh England, Terbuka Jepun dan Taiwan.

Katanya lagi, selain perlu membuktikan keupayaannya, Hock Kin juga mesti mengelak daripada mengalami kecederaan berulang jika mahu meneruskan kariernya.

``Dia tidak boleh cedera lagi. Dia juga harus belajar mengurangkan tekanan kepada diri sendiri.''

Sementara itu Hock Kin mengakui, peluangnya untuk mendapat tempat pada Piala Thomas, Sukan Asia serta Komanwel agak sukar terutama dengan peningkatan yang ditunjukkan pemain muda.

Bagaimanapun dia percaya pengalaman mampu memberi kelebihan kepadanya untuk merebut tempat dan berjanji akan membuktikan sumbangannya masih diperlukan.

``Apabila saya sudah mampu bermain semula, itu bermakna saya juga mampu menang lagi,'' katanya yang merangkul gelaran pertama pada Terbuka Thailand selepas tiga tahun tanpa gelaran.

``Saya tidaklah begitu terkejut memenangi Terbuka Thailand kerana saya tahu saya boleh berjaya jika saya mencuba,'' katanya lagi, yang menang Terbuka Indonesia 1998.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bpIPu62Z

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan