Jumaat, 24 Mac 2017

Indonesia tumbangkan Malaysia



ARKIB : 16/07/2002
MALAYSIA gagal mempertahankan kejuaraan dalam acara berpasukan lelaki setelah tewas kepada musuh tradisi Indonesia 3-0 pada separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam.

Pasukan pilihan utama, China turut tersingkir apabila tewas kepada Korea Selatan.

Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kedua pertandingan gagal menyekat kemaraan pemain Indonesia yang menguasai kesemua acara perseorangan.

Hasrat untuk mencuri satu mata daripada pemain perseorangan dengan harapan mendapat dua lagi mata dari acara beregu gagal disempurnakan oleh Tan Zhao Rong yang tewas 2-15, 7-17 kepada Holvy De Pow. Azrihanif Azahar yang diturunkan sebagai perseorangan kedua juga tidak dapat menyekat permainan mantap Simon Santoso dan tewas 5-15, 4-15.

Percaturan menurunkan pemain beregu, Koo Kien Keat dalam acara perseorangan sebagai usaha terakhir untuk mencuri mata juga tidak kesampaian apabila pemain itu tunduk 9-15, 14-15 kepada Roy Purnomo bagi membolehkan Indonesia mara dengan kemenangan 3-0.

Terdahulu, pada sebelah pagi, pemain negara menewaskan Jepun 3-0 untuk membolehkan mereka mara ke separuh akhir.

Jurulatih pasukan lelaki negara, Yap Kim Hock mengakui mereka sukar untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih tahun lepas berikutan barisan pemain baru yang baru setahun menjalani latihan pusat.

``Kami memang telah menduga sukar untuk mempertahankan kejuaraan kerana kebanyakan pemain berasal dari persatuan negeri dan baru setahun menjalani latihan di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil).

Sementara itu, Korea Selatan menyekat kemaraan China setelah ketiga-tiga pemain perseorangan mereka menang dengan Hong Seung Ki mengutip mata pertama setelah menewaskan Chen Jin 17-14, 15-12.

Park Sung Hwan melebarkan kemenangan Korea dengan menewaskan Gong Weijie 15-1, 15-4 sementara Hwang Ji Man memastikan ke-maraan mereka setelah menewaskan Xie Xin 15-8, 15-4.

Dalam acara berpasukan perempuan, Malaysia yang mengejutkan naib juara tahun lepas, Taiwan kelmarin gagal meneruskan kejayaan itu apabila tumpas 3-1 kepada Jepun, semalam.

Perseorangan ketiga, Norshaliza Baharom menjadi penyumbang mata tunggal negara setelah menang 11-6, 9-11, 11-8 kepada Yu Hirayama.

Jepun mengutip mata menerusi Eriko Hirose yang menewaskan V.Renuga 11-6, 11-6 diikuti Niina Iwata yang menang 11-9, 11-6 kepada Anita Kaur 11-9, 11-6 dan kemenangan 11-5, 11-9 gandingan Eriko Hirose-Yasuyo Imabeppu ke atas Wong Wai See-ooi Sook Ai 11-5, 11-9.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cEQZmxGL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan