Rabu, 29 Mac 2017

Razif mungkin sertai skuad `serpihan'

ARKIB : 20/03/2003
SELEPAS agak lama menghilang, bekas jaguh beregu dunia Razif Sidek tiba-tiba muncul semalam menyaksikan sesi latihan pemain-pemain `serpihan' Persatuan Badminton MALAYSIA (BAM) di Dewan Badminton Kong Meng, Balakong.

Kemunculan Razif, selepas hampir tujuh tahun menyepi diri menimbulkan tanda tanya adakah beliau kini calon terbaru jurulatih kepada kumpulan pemain yang ditaja oleh Naza Kia Sdn. Bhd. itu, ketika kedudukan Indra Gunawan masih samar.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1992 itu berkata, kehadirannya semalam adalah atas jemputan pemain veteran, Ong Ewe Hock yang ingin menjelaskan mengenai idea penubuhan Kelab Badminton Kia.

Turut hadir pada sesi latihan semalam adalah bekas jurulatih perseorangan kebangsaan, Indra yang sedang bercuti dua minggu di negara ini.

Walaupun tiada sebarang ikatan dimeterai semalam, namun Razif tidak menolak kemungkinan pertemuan itu akan disusuli dengan perbincangan-perbincangan lanjut pada masa akan datang.

Dan tidak mustahil, Indra yang menjadi calon awal jurulatih turut terlibat dalam perancangan yang dianggap projek `jangka panjang', tetapi bertindak sebagai penasihat.

``Kami akan bertemu lagi untuk berbincang, tetapi sekarang bukan masa yang sesuai kerana dia (Ewe Hock) terlalu sibuk dengan persediaan ke Terbuka Jepun dan Korea,'' kata Razif.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cjMuwPgx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan