Ahad, 26 Mac 2017

Tumpuan pada pemain kurang cergas - Barisan muda belum matang - Misbun



ARKIB : 03/01/2003
MISBUN memberi nasihat kepada pemain sewaktu sesi rehat di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam . - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh DALLIA DUNSTAN
KETUA jurulatih perseorangan badminton negara yang baru, Misbun Sidek berkata, pemain remaja negara masih belum matang untuk diketengahkan pada sebarang kejohanan antarabangsa.

Misbun berpendapat mereka (pemain remaja) perlu diberi tunjuk ajar yang lebih banyak termasuk mempertingkatkan prestasi permainan agar lebih bersedia menghadapi tekanan di pertandingan besar.

``Saya kemungkinan akan memilih pemain senior Wong Choong Hann, Lee Tse Seng, Mohd Hafiz Hashim untuk menyertai kejohanan luar negara berbanding pemain remaja,'' katanya semasa memulakan tugas baru di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di pusat latihan badminton di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

Misbun menjelaskan, tumpuan utamanya sekarang ialah menggilap pemain muda untuk setaraf pemain seniur agar boleh dipertaruhkan pada bila-bila masa di persada antarabangsa.

``Saya berharap pemain muda yang digandingkan dengan pemain senior akan memberikan komitmen untuk menghasilkan keputusan yang baik untuk BAM dan negara,'' jelasnya.

Menurut beliau, program latihannya mempunyai sedikit persamaan dengan apa yang telah diberikan oleh penasihat BAM sebelum ini, Indra Gunawan.

``Apa yang berbeza ialah kemungkinan daripada segi sukatan latihan untuk setiap pemain.

``Saya akan memberi tumpuan kepada pemain yang kurang cergas dan memerlukan lebih banyak perhatian,'' kata Misbun.

Menurut bekas jurulatih perseorangan kelab Nusa Mahsuri itu, cabaran yang lebih besar menantinya di BAM iaitu mengembalikan reputasi terbaik dalam kancah antarabangsa.

``Sebelum ini saya lebih tertumpu kepada melatih pemain di peringkat sekolah, kelab dan negeri sahaja.

``Di BAM, tugas saya lebih mencabar kerana ia melibatkan pemain yang akan bermain untuk negara dan ini memerlukan analisis yang berbeza,'' katanya.

Dia berkata, setakat ini para pemain sudah mula menerimanya sebagai jurulatih.

``Saya berharap mereka (pemain) ikhlas kerana saya jujur ketika menerima tawaran ini daripada BAM,'' katanya.

Misbun mengakui, tiada siapa pun yang sempurna dan termasuk dirinya.

``Walaupun Indra mendapat simpati daripada pemain tetapi pemain harus menerima hakikat bahawa jurulatih datang dan pergi,'' katanya.

Sementara itu, Misbun berpendapat waktu latihan yang ada pada ketika ini iaitu selama tiga jam tidak mencukupi dan berkemungkinan akan menambah kepada empat hingga lima jam lagi.

``Tiga jam adalah untuk pemain profesional dan dua jam lagi untuk pemain pelapis,'' katanya.

Tambahnya dia akan melakukan perubahan itu selepas dua hingga tiga minggu.

Tambah Misbun, tugas utamanya sekarang ialah untuk menyediakan pemain ke kejohanan Badminton Seluruh England yang akan diadakan pada 11 hingga 16 Februari ini.

Menurut Misbun, dia akan melihat prestasi pemain dan jika tiada seorang pemain pun yang berada pada prestasi yang memuaskan maka dia kemungkinan tidak akan menghantar sebarang pemain kepada kejohanan tersebut.

``Walaupun pemain senior sekali pun saya tidak akan menghantar mereka ke kejohanan itu semata-mata mahu menyertainya,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQQ81cxO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan