Selasa, 28 Mac 2017

BAM janji insentif buat Hafiz

ARKIB : 17/02/2003
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh berjanji memberikan insentif kepada Muhammad Hafiz Hashim yang menjuarai Seluruh England semalam.

Nadzmi berkata, beliau dan BAM juga akan membantu Hafiz mencari lebih banyak penaja untuk membantu beliau mengembangkan kariernya sekali gus meletakkan Malaysia di persada dunia.

``Sudah semestinya kita berbangga dengan kemenangan beliau sekalipun beliau bukannya pemain BAM. Apa yang penting beliau adalah pemain Malaysia yang berjaya memenangi kejohanan yang amat berprestij itu.

``Saya memang nampak Hafiz seorang pemain yang berbakat, berwibawa dan berkebolehan untuk menjadi juara dunia.

``Saya harap kejayaan di Seluruh England akan menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih gemilang,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Hafiz, 20, muncul juara Seluruh England yang baru setelah menundukkan pemain pilihan utama dari China, Chen Hong 17-14, 15-10 pada kejohanan yang berlangsung di Birmingham, England.

Kejayaannya juga sekali gus menamatkan kemarau 37 tahun kemenangan pemain negara dalam acara perseorangan lelaki yang kali terakhir dimenangi Tan Aik Huang pada 1966.

Nadzmi berkata, kemenangan Hafiz di samping kemaraan tiga lagi pemain negara ke peringkat suku akhir memberi petanda baik dan membuktikan Malaysia mempunyai barisan pemain terbaik di dunia.

``Kita mahu lihat pemain dapat mengekalkan persembahan ini bagi meneruskan kecemerlangan pada kejohanan-kejohanan utama lain termasuk Kejohanan Dunia yang juga akan diadakan di Birmingham Mei depan,'' katanya.

Selain Hafiz, abangnya Roslin turut mara ke separuh akhir tetapi kecundang di tangan Chen Hong manakala pemain BAM, Lee Tsuen Seng dan Yong Hock Kin terkandas di suku akhir. - Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ccR2QS6b

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan