Selasa, 28 Mac 2017

Hafiz sekat China

ARKIB : 17/02/2003
BIRMINGHAM, England - China jelas menunjukkan kegagahan dalam arena badminton dunia apabila merangkul tiga daripada lima gelaran pada kejohanan Seluruh England yang berakhir di sini, semalam.

Malah, mereka kelihatan hampir menyamai rekod cemerlang dalam kejohanan ini pada 1997 apabila Zhang Jun dan Gao Ling menang acara beregu campuran.

Bagaimanapun pemain Malaysia, Muhammad Hafiz Hashim membantutkan impian China untuk meraih gelaran keempat bagi menyamai pencapaian mereka menang empat gelaran pada 1997.

Hafiz, pemain muda berusia 20 tahun mengecewakan Chen Hong 17-14, 15-10 pada acara akhir perseorangan lelaki di National Indoor Arena, semalam.

Kemenangan ke atas rakan senegara, Chen Qiqiu/Zhao Tingting juga membolehkan Zhan dan Gao melengkapkan hatrik dalam kejohanan besar, selepas menang pada Sukan Olimpik di Sydney pada 2000 dan Kejohanan Dunia di Seville pada 2001.

China sudah pun pasti meraih tiga daripada lima gelaran Seluruh England itu sebelum hari terakhir bermula, selepas acara perseorangan wanita dan beregu serta beregu campuran yang melangkah ke akhir semuanya dari negara itu.

``Kami memiliki sistem latihan yang baik dan jurulatih yang berwibawa tetapi tidak mustahil negara lain mampu menyamai apa yang dicapai oleh China,'' kata Chen Hong.

Kekalahan kepada Hafiz juga menjadikan pemain berusia 23 tahun itu gagal menyamai pencapaian rakan senegara, Ge Fei pada 2000 yang menang dua gelaran iaitu beregu wanita dan campuran. - Agensi
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ccOyZgNI
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan