Jumaat, 31 Mac 2017

Hafiz kecundang di tangan Choong Hann



ARKIB : 07/06/2003

PEMAIN nombor satu negara, semalam Wong Choong Hann menewaskan juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim sekali gus mencerahkan peluangnya untuk menjuarai Kejohanan Badminton Cabaran Elit Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada aksi hari keempat kejohanan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, Choong Hann mempamerkan persembahan terpuji apabila bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menundukkan Hafiz 9-15, 15-9, 15-7 dalam masa satu jam 24 minit.

Choong Hann, 26, kini memenangi kesemua enam perlawanan beliau untuk mengumpul 12 mata maksimum. Dalam acara perseorangan lelaki yang dijalankan secara liga, setiap pemain akan bermain sembilan perlawanan.

Selain Choong Hann, abang Hafiz, Roslin Hashim turut berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan selepas menewaskan pemain pelapis Hazwan Jamaluddin 15-7, 15-6 hari ini.

Namun, Hafiz yang mengalahkan Kuan Beng Hong 15-3, 15-3 pada sesi petang, masih mengungguli senarai pemain dengan enam kali menang dan sekali kalah walaupun beliau sudah beraksi tujuh kali.

Pemain Nusa Mahsuri itu berada di depan Choong Hann dan Roslin berdasarkan perbezaan set permainan. Hafiz mempunyai rekod 13-2 berbanding Choong Hann (12-3) dan Roslin (12-4).

Pertembungan antara Choong Hann dan Hafiz jelas sengit dengan Hafiz menggunakan strategi menyerang dari awal bagi menutup segala peluang lawannya untuk bertindak balas. Hafiz menang set pertama 15-9.

Hafiz yang mendapat sokongan lebih 250 penonton, kelihatan agak tertekan pada set kedua dengan Choong Hann bermain lebih berhati-hati serta sering mengajak beliau beradu di jaring.

Perangkap Choong Hann mengena ketika permainan di jaring Hafiz kurang menjadi. Pemain kidal itu berjaya membawa perlawanan ke set penentuan apabila menang set kedua 15-9.

Pada set penentuan, persembahan Hafiz sudah tidak menjadi selain kelihatan keletihan bagi membolehkan Choong Hann mendahului 8-2 dan tiba ke mata penamat 14-4. Hafiz cuba bangkit tapi hanya mampu menambah tiga mata lagi sebelum Choong Hann mengutip mata penamat setelah menewaskan Hafiz di jaring.

``Saya hanya berpeluang melakukan serangan pada set kedua dan ketiga. Hafiz memang bagus tetapi saya lebih tenang walaupun pada hampir keseluruhan perlawanan, saya tertekan,'' kata Choong Hann, yang tumpas kepada Hafiz pada separuh akhir Sukan Komanwel di Manchester tahun lepas.

Sementara itu, juara kebangsaan Lee Chong Wei turut berpeluang untuk muncul juara apabila mengejutkan pilihan kedua Lee Tsuen Seng 15-11, 8-15, 15-3. Chong Wei kini memenangi lima daripada tujuh perlawanannya.

Bagi Tsuen Seng, kekalahan itu merupakan yang kedua berturut-turut buatnya selepas dikejutkan Yeoh Kay Bin semalam.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan nombor dua negara Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah kembali berada pada tahap terbaik apabila mengalahkan pilihan utama Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng 15-11, 15-11 pada perlawanan akhir.

Tan Fook dan Wan Wah berkongsi hadiah wang tunai RM3,000 manakala Chong Ming dan Choon Eng terpaksa berpuas hati dengan RM1,500.

Acara perseorangan lelaki bersambung Isnin dan Selasa depan manakala acara berpasukan berlangsung dari Selasa hingga Jumaat. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cyZQNPfC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan