Jumaat, 31 Mac 2017

Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham - Misbun perkenal latihan khas



ARKIB : 22/04/2003 
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

MISBUN SIDEK (kiri) mungkin akan memperkenalkan latihan khas kepada barisan pemain negara yang sedang membuat persiapan ke Kejohanan Dunia di Birmingham bulan depan.

MISBUN Sidek, jurulatih yang terkenal dengan corak latihan keras mungkin memperkenalkan latihan khas untuk pemain negara yang akan beraksi pada Kejohanan Dunia di Birmingham, bulan depan.

Bagaimanapun ketua jurulatih perseorangan kebangsaan itu berkata, pendekatan tersebut tidak mungkin digunakan dalam masa terdekat memandangkan tempoh kejohanan masih jauh, 12-18 Mei ini.

Katanya lagi, beliau juga masih belum memikirkan latihan khas yang sesuai diamalkan tiga perseorangan negara pada kejohanan itu - Wong Choong Hann, Muhd. Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng.

``Buat masa ini, saya hanya tingkatkan tahap latihan daripada kebiasaan kerana kejohanan sudah semakin hampir,'' katanya pada sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

``Sebarang latihan khas boleh dipertimbangkan, tetapi adalah terlalu awal untuk memulakannya sekarang kerana kita masih ada 20 hari menjelang Kejohanan Dunia, selain status pertandingan itu yang masih belum pasti.

``Jika kejohanan sudah disahkan tidak ditunda, kita akan pertimbangkan sebarang latihan dan ia boleh dipraktikan apabila tempoh kejohanan semakin hampir.''

Bekas ketua jurulatih Nusa Mahsuri itu pernah menyediakan latihan pada waktu subuh ketika menyediakan Mohd. Roslin Hashim untuk Kejohanan Dunia di Seville, dua tahun lalu.

Relevannya ketika itu, Roslin perlu menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu di antara Sepanyol dan Malaysia.

Kali ini, pemain akan beraksi di Birmingham yang mempunyai perbezaan waktu hampir lapan jam dengan Kuala Lumpur dan Misbun tidak menolak kemungkinan menggunakan corak latihan serupa.

``Saya masih tidak pasti. Setiap pemain memiliki penampilan berbeza jadi pendekatan yang akan digunakan juga berbeza. Saya kena lihat dulu perkembangan setiap seorang daripada mereka sebelum memikirkan yang apa-apa yang patut.

``Bagaimanapun setakat ini saya amat berpuas hati dengan perkembangan latihan mereka, Choong Hann agak menonjol berbanding yang lain, tetapi Hafiz dan Tsuen Seng juga nampak lebih bersedia berbanding kejohanan terakhir.''

Menurut Misbun, selepas disisihkan daripada dua kejohanan utama, Terbuka Jepun dan Korea kerana masalah kecergasan, pemain nombor satu negara, Choong Hann dilihat bersedia untuk membuat penampilan semula.

Bagaimanapun kemampuan sebenar pemain itu untuk bersaing pada Kejohanan Dunia hanya dapat diketahui seminggu sebelum saingan bermula, selain bergantung kepada undian yang akan dikeluarkan 2 Mei ini.

Juara Seluruh England, Hafiz pula menurut Misbun semakin pulih daripada kejutan selepas belajar daripada kesilapan pada Terbuka Jepun dan Korea.

``Kekalahannya pada kedua-dua kejohanan banyak memberi pengajaran kepada Hafiz. Dia masih mentah, jadi kekalahan seperti itulah yang akan memberi pengalaman kepadanya.''

Menurut Misbun, Hafiz, 21, sudah kembali meraih sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keyakinannya yang direntap ketika tewas pada pusingan awal pada kedua-dua kejohanan.

Sementara itu Tsuen Seng masih dianggap pemain yang mampu mencipta kejutan sekalipun agak hampar di Jepun, tewas pada pusingan pertama kepada perseorangan veteran Indonesia, Marleve Mainaky.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ctptyHh3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan