Khamis, 23 Mac 2017

Hafiz pencetus kemenangan



ARKIB : 17/05/2002
PEMAIN negara, Muhd. Hafiz Hashim cemerlang ketika menyumbang mata kedua negara menentang China dalam aksi separuh akhir Badminton Piala Thomas, semalam. - Gambar Bernama.

Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
Guangzhou, China
Piala Thomas/Uber 2002
9 - 19 Mei
GUANGZHOU - Muhd. Hafiz Hashim menjadi pencetus kemenangan buat pasukan negara apabila kejayaannya mencuri satu mata dalam acara perseorangan membolehkan Malaysia layak ke perlawanan akhir badminton Piala Thomas, semalam.

Namun mata kemenangan Malaysia diperoleh menerusi pasangan beregu kedua negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah bangkit daripada ketinggalan dua set sebelum memberi mata berharga buat Malaysia melangkah bergaya ke perlawanan akhir Badminton Piala Thomas menewaskan China 3-1 di Gimnasium Tianhe.

Pasukan negara bakal bertemu sama ada juara bertahan, Indonesia atau Denmark yang akan bertarung merebut satu lagi tiket ke akhir, hari ini.

Tan Fook-Wan Wah ketinggalan dua set kepada pasangan Zhang Wei-Chen Qiqui tetapi bangkit untuk menang 5-7, 6-8, 7-1, 7-3, 7-3.

Sebelum itu China merampas mata pertama menerusi perseorangan pertamanya, Xia Xuanze yang menewaskan Wong Choong Hann 8-6, 6-8, 5-7, 6-8.

Bagaimanapun, Malaysia mengikat kedudukan 1-1 menerusi pasangan beregu utama negara, Chan Chong Ming-Chew Choong Eng yang menewaskan Zhang Jun-Wang Wei dengan straight set 7-4, 7-5, 7-2.

Pemain muda, Muhd. Hafiz Hashim memberi mata semangat buat pasukan negara apabila mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Bao Chunlai 1-7, 7-4, 8-7, 1-7, 7-5.

Ini adalah kemenangan ketiga pasukan negara ke atas China daripada 10 pertemuan sepanjang sejarah Piala Thomas.

Kejayaan itu juga bakal menyaksikan pertemuan semula Malaysia-Indonesia jika pasukan jiran itu berjaya menewaskan juara Eropah, Denmark.

Pada perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia tewas 4-1 kepada Indonesia. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cAAGUInB© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan