Isnin, 20 Mac 2017

Hafiz, James masih berpeluang

ARKIB : 14/02/2002
MOHD. Hafiz Hashim dan James Chua berpeluang terpilih menyertai skuad kebangsaan ke pusingan akhir Piala Thomas 2002 sekiranya berjaya membuat kejutan pada tiga kejohanan terbuka yang akan berlangsung sebelum Mei depan.

Penasihat badminton negara, Indra Gunawan berkata, kedua-dua pemain perlu membuktikan kehebatan mereka pada Seluruh England atau Terbuka Switzerland, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun yang akan berlangsung pada bulan Mac dan April.

``Mereka masih mempunyai peluang walaupun tidak menyertai pusingan kelayakan.

``Mereka telah membuktikan kemampuan di peringkat kebangsaan dan kini tiba masanya untuk mereka membuktikannya di peringkat antarabangsa.

``Dan sekiranya terbukti mereka mampu dan dapat menerima tekanan beraksi di peringkat antarabangsa, mereka boleh dipertimbangkan untuk menyertai skuad Piala Thomas di Guangzhou nanti,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya semasa sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, kelmarin.

James, 23, dan Hafiz, 19, menjadi perhatian apabila mereka berjaya menewaskan pemain yang terpilih ke pusingan kelayakan Piala Thomas di kejohanan Grand Prix akhir dan pertandingan simulasi baru-baru ini.

Namun kedua-dua pemain tidak tersenarai ke kejohanan itu kerana masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

Indra berkata, Malaysia kini mempunyai pilihan dalam menyenaraikan pemain ke pertandingan antarabangsa dan mereka yang terbukti berpotensi pastinya berpeluang untuk menyertai pertandingan tersebut.

BAM pada 28 Januari lepas telah menyenaraikan Wong Choong Hann, Roslin Hashim, Ong Ewe Hock dan Lee Tsuen Seng sebagai pemain perseorangan ke pusingan kelayakan Piala Thomas.

Beregu pula disandarkan kepada gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, Chan Kim Wai-Hong Chieng Hun dan Gan Teik Chai-Fairuzizuan Tazari.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bs54WYzB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan