Ahad, 19 Mac 2017

Hafiz belum mantap

ARKIB : 14/12/2001
JURULATIH Nusa Mahsuri, Misbun Sidek tidak bersedia untuk mempertaruhkan nasib negara dengan meminta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih Mohd. Hafiz Hashim beraksi pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber di Guangzhou, China, Mei depan.

Menurut Misbun, walaupun Hafiz menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa bulan lepas namun berpendapat pemain berusia 19 tahun itu harus mempunyai kemampuan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pandangan beliau.

``Saya tidak mahu menekan pemain ini ataupun BAM untuk memilih Hafiz tetapi berdasarkan prestasi semasa dia memang mempunyai peluang yang baik.

``Hafiz tidak mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan besar seperti Piala Thomas.

``Jadi dia harus menyakinkan semua pihak termasuk BAM bahawa dia mampu memikul tanggungjawab ini,'' katanya yang ditemui selepas latihan di Kompleks Sukan MPPJ, Kelana Jaya, semalam.

Misbun yang telah membimbing adik kepada juara Terbuka Switzerland dan Jepun Roslin Hashim sejak lebih setahun lalu itu mengakui Hafiz merupakan pemain yang bijak dan mudah memahami apa yang diajar kepadanya.

``Kekuatan Hafiz adalah pada otaknya yang cepat menangkap dan skilnya. Sebab itu saya menekankan kepada peningkatan tahap fizikal disamping kepantasan permainan, smash dan pertahanan.

``Malah kini jurang di antara Hafiz dengan abangnya (Roslin) semakin rapat,'' ujarnya.

Hafiz yang menjuarai kejohanan Terbuka Lustar yang disenaraikan dalam satelit Asia sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk cuba merebut tempat sebagai pemain simpanan dalam skuad Piala Thomas negara. Roslin yang kini menjadi pemain keempat dunia sudah hampir pasti disenaraikan dalam pusingan kelayakan dan pusingan akhir kejohanan berpasukan itu.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bpzorJId

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan