Selasa, 21 Mac 2017

Badminton kelayakan Piala Thomas - Malaysia berkedudukan baik



 ARKIB : 22/02/2002

Daripada SRY ANGRENI MOHD ZET
MELBOURNE - Malaysia berada di tempat teratas kumpulan A setelah memenangi dua perlawanan, yang terbaru menewaskan Jepun 4-1 pada hari kedua pusingan kelayakan Kejohanan Badminton Piala Thomas di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne, semalam.

Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan berpeluang menang 5-0 ke atas Jepun tetapi pemain perseorangan kedua, Roslin Hashim terpaksa memberi kemenangan percuma kepada Shinya Ohtsuka walaupun telah mendahului 2-1 berikutan kecederaan siku kanan.

Ketika keputusan itu dibuat Roslin telah memenangi set pertama 7-0 sebelum tewas set kedua 8-6 setelah mendakwa merasa sakit di siku kanan ketika sedang mendahului 6-5.

Dia bagaimanapun berjaya memenangi set ketiga 8-7 sebelum memberi kemenangan percuma kepada Shinya untuk mata tunggal Jepun.

Terdahulu juara Terbuka Malaysia, Ong Ewe Hock meraih mata pertama negara setelah menang 7-0, 6-8, 7-3, 7-1 ke atas Shoji Sato yang banyak melakukan kesilapan di gelanggang.

Gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang menang mudah ke atas pasangan Singapura kelmarin masih belum diuji pada perlawanan kedua mereka, semalam.

Mereka masih belum dicabar dan menang 7-2, 7-0, 7-3 ke atas pasangan Keita Matsuda-Tadashi Ohtsuka yang pernah menewaskan bekas beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada kejohanan Piala Sudirman di Seville, Sepanyol tahun lepas.

Mata kemenangan negara diperoleh oleh gandingan Chan Kim Wai-Hong Chien Hun yang bermain empat set sebelum berjaya menumpaskan Yuzo Kubato-Takuya Katayama 8-6, 7-3, 3-7, 7-2.

Lee Tsuen Seng turut menyumbang mata kemenangan setelah menyingkirkan Yousuke Nakanishi 7-5, 3-7, 7-5, 7-0 sekaligus menyaksikan Malaysia menjadi pasukan tunggal yang memenangi kesemua perlawanan.

Malaysia yang baru turun dalam dua perlawanan akan menentang Australia pada sebelah pagi dan Hong Kong pada sebelah petang ini.

Dalam satu lagi perlawanan, Singapura memperoleh kemenangan keduanya daripada tiga perlawanan semalam setelah menumpaskan pasukan tuan rumah Australia 5-0 untuk berada di tempat kedua kumpulan.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Indra Gunawan masih belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Tsuen Seng walaupun telah memenangi kesemua dua perlawanannya.

Menurut Indra, walaupun pemain kelahiran Perak itu menang tetapi dia masih belum mempamerkan prestasi sebenarnya.

``Permainannya belum `lepas' lagi. Dia mungkin masih gugup tetapi dia perlu mengatasi masalah ini segera dan menghadapi kemungkinan diturunkan pada setiap perlawanan,'' katanya selepas kejohanan semalam.

Jurulatih beregu negara, Park Joo-bong pula merasa lega dengan peningkatan prestasi pasangan kedua, Kim Wai-Chien Hun yang menewaskan Yuzo-Takaya semalam.

``Saya berharap peningkatan ini akan berterusan kerana kita memang memerlukan tiap mata daripada pasangan ini. Tetapi mereka tidak boleh leka kerana prestasi pemain Jepun dengan Korea atau Thailand masih jauh berbeza,'' katanya. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bwkcnvj8© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan