Khamis, 30 Mac 2017

Cabaran kita berakhir



ARKIB : 04/04/2003
TOKYO - Cabaran Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Jepun berakhir semalam apabila tiga wakil terakhirnya Ong Ewe Hock, Mohd. Roslin Hashim serta Ismail Saman terkeluar dari pusingan ketiga.

Kegagalan ketiga-tiga senior itu merupakan tamparan terbaru buat pasukan negara selepas kelmarin, juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim tersingkir seawal pusingan kedua kejohanan lima bintang yang menawarkan AS$180,000 (RM684,000) itu.

Pemain tajaan Naza Kia, Ewe Hock, 31, pilihan kelima kejohanan terpaksa akur dengan kekalahan straight-set 14-15, 4-15 kepada pemain nombor dua Korea Selatan, Shon Seung-Mo.

Roslin pula sememangnya tidak diberi harapan tinggi apabila berdepan pemain nombor satu dunia dan naib juara Seluruh England, Chen Hong dari China.

Pemain Nusa Mahsuri itu tewas mudah 3-15 pada set pertama, sebelum memberi sedikit tentangan pada set kedua tetapi tetap gagal apabila tunduk 11-15.

Harapan untuk menyaksikan sekurang-kurangnya satu wakil Malaysia beraksi di suku akhir berkecai apabila rakan sepasukan Ewe Hock, Ismail tumpas kepada pemain Hong Kong, Ng Wei.

Juara Terbuka Selangor, Ismail yang kini berada di ranking ke-63 dunia bagaimanapun memberi tentangan sengit sebelum tewas 14-17, 16-17 kepada pemain nombor 45 dunia, Ng Wei.

Dengan kekalahan ketiga-tiga pemain itu, cabaran negara pada Terbuka Jepun kini berakhir selepas Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara beregu lelaki serta bahagian wanita.

Sementara itu kejohanan tersebut turut menyaksikan kejutan apabila pemenang pingat emas Sukan Asia, Taufik Hidayat dari Indonesia tewas 14-15, 4-14 kepada pemain muda China, Chen Yu, pemain yang mengalahkan Hafiz di pusingan kedua.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4con6fqYP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan