Jumaat, 31 Mac 2017

Pertaruhan tentukan juara Cabaran Elit - Roslin atau Hafiz



ARKIB : 10/06/2003

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
ROSLIN Hashim melompat tinggi untuk melakukan smash kencang ketika bertemu Wong Choon Hann pada perlawanan Cabaran Elit BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam. Roslin menang 15-11, 15-12.

PEMAIN senior, Mohd. Roslin Hashim yang tercicir daripada Kejohanan Badminton Dunia bulan depan menjadi calon utama untuk merangkul gelaran perseorangan lelaki Cabaran Elit 2003 yang berakhir hari ini selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga hari kedua terakhir di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Roslin, 28, bagaimanapun perlu mengalahkan adiknya dan juara seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim, yang turut berpeluang muncul juara apabila kedua-dua mereka bertemu dalam perlawanan terakhir hari ini.

Pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann turut mempunyai peluang untuk menjuarai kejohanan yang menawarkan RM41,100 itu sekalipun tewas 11-15, 11-12 kepada Roslin semalam.

Choong Hann, 25, yang bakal mengetuai cabaran negara ke Birmingham 28 Julai hingga 3 Ogos ini akan bertemu Lee Tsuen Seng, yang mengalami dua lagi kekalahan semalam.

Dalam saingan semalam, Roslin, yang terlepas tiket Kejohanan Dunia kepada pemain muda, Tsuen Seng terus mempamerkan aksi mantap dengan mencatat dua lagi kemenangan untuk memenangi lapan perlawanan berturut-turut.

Selepas mengalahkan Choong Hann dalam sebelah pagi, pemain Nusa Mahsuri itu menewaskan Tsuen Seng 15-6, 15-7 pada sebelah petang, sekaligus meletakkan dirinya di tangga teratas pada kejohanan yang dijalankan secara liga itu.

Choong Hann yang tewas pada sebelah pagi bangkit menundukkan juara kebangsaan, Lee Chong Wei 15-11, 15-12 di sebelah petang.

Hafiz, 21, pula masih berkedudukan baik untuk muncul juara meskipun telah tewas satu perlawanan selepas menumpaskan Tsuen Seng 15-9, 15-2. Dia yang kalah kepada Choong Hann pada Jumaat lalu, kini memenangi enam daripada lapan perlawanan menerusi keputusan straight-set.

Sementara itu undian untuk pertandingan peringkat kumpulan yang akan bermula petang ini hanya akan dibuat selepas berakhirnya saingan perseorangan lelaki.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cycfgZ7T
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan