Khamis, 23 Mac 2017

Saingan Piala Thomas di China - Hafiz, Tsuen Seng pilihan terbaik

RKIB : 16/04/2002
MUHAMMAD Hafiz Hashim gigih menjalani latihan bersama jurulatih, Misbun Sidek dalam persiapannya untuk membuat penampilan sulung pada pusingan akhir Piala Thomas, bulan depan.

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
PUSINGAN akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Guangzhou, China bulan depan hampir pasti menampilkan dua pemain muda, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng buat kali pertama.

Pemain nombor sembilan dunia, Hafiz dan juara Terbuka Belanda, Tsuen Seng tidak perlu lagi bersaing untuk merebut tempat dalam skuad negara selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju menyenaraikan lima pemain perseorangan.

Hafiz, 19, dan Tsuen Seng, 22, dijangka menyertai tiga rakan senior, Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock serta Mohd. Roslin Hashim untuk membawa cabaran perseorangan.

``Kita akan menyenaraikan lima pemain perseorangan dan lima pemain beregu pada Piala Thomas,'' kata Setiausaha Kehormat BAM, Zolkples Embong selepas mengadakan perbincangan dengan jurulatih kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

``Penyenaraian lima pemain perseorangan akan memudahkan percaturan dibuat, apatah lagi kita memiliki pilihan beregu yang terhad,'' katanya lagi.

Senarai akhir skuad negara ke kejohanan 9-19 Mei itu akan diumumkan oleh presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh, Khamis ini.

Berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dan prestasi terkini pemain, Choong Hann dan Ewe Hock dijangka turun sebagai perseorangan pertama dan kedua.

Roslin, 27, Hafiz dan Tsuen Seng pula merupakan pilihan untuk diturunkan sebagai perseorangan ketiga, manakala pasangan nombor satu dunia dan juara Terbuka Jepun, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng membawa cabaran beregu utama.

Tsuen Seng, ranking ke-12 dunia dan penampilan pertama pada pusingan kelayakan di Melbourne menunjukkan peningkatan sepanjang tahun lalu, termasuk menjuarai Terbuka Belanda, naib juara Terbuka Switzerland dan Indonesia.

Hafiz pula menjadi pencabar utamanya selepas muncul perseorangan terbaik negara pada Terbuka Jepun minggu lalu, melayakkan diri ke separuh akhir menewaskan pemain nombor dua dunia, Chen Hong dari China dan bekas juara Seluruh England, Pulella Gopichand dari India.

Kedudukan beregu kedua pula bergantung kepada keputusan beregu veteran, Lee Wan Wah yang mengalami kecederaan lutut kiri ketika beraksi pada separuh akhir Terbuka Jepun.

Sekiranya pemain itu mampu pulih menjelang awal bulan depan, gandingannya bersama Choong Tan Fook akan memantapkan cabaran beregu negara atau terpaksa digantikan dengan pasangan muda, Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun jika keadaan sebaliknya.

``Keadaan Wan Wah ketika ini tidak serius walau pun dia belum pulih sepenuhnya,'' kata Zolkples.

``Kami harap dia boleh pulih dalam tempoh sebulan ini kerana kehadirannya membolehkan Malaysia memiliki dua beregu kuat.''

Menurut Zolkples lagi, pasukan negara tidak berganjak dengan sasaran melayakkan diri ke separuh akhir, sebelum mula memikirkan haluan seterusnya.

Sementara itu jurulatih beregu kebangsaan, Park Joo-bong berkata, barisan pemain yang akan beraksi pada Piala Thomas sudah pun berada di tangannya.

Katanya, sekiranya tidak ada sebarang kecederaan berlaku ke atas mana-mana pemain, barisan yang akan membawa cabaran ke China sudah dapat dibayangkan.

Sementara itu perlawanan simulasi yang menjadi sebahagian daripada program tetap sebelum kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas tidak diadakan kali ini kerana tumpuan yang lebih akan diberikan terhadap latihan di gelanggang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c8bg1sct© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan