Selasa, 28 Mac 2017

Hafiz kembali teruskan latihan


 

ARKIB : 26/02/2003
HAFIZ begitu tekun mendengar arahan daripada Misbun pada sesi latihan pertama selepas bergelar juara perseorangan Seluruh England di Stadium Badminton Juara, Bukit Kiara, semalam. - Gambar Ahmad Zakki Jilan.

SELEPAS seminggu diraikan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England, Muhd Hafiz Hashim kembali menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Hafiz, 20, yang kembali ke Kelantan minggu lepas bagi meraikan kejayaan itu berkata dia dan juga pemain-pemain lain sekadar menjalani latihan ringan semalam.

``Saya baru mula berlatih hari ini. Pagi tadi kami hanya menjalani latihan ringan dan pastinya saya masih merasakan keseronokan menjuarai Seluruh England,'' katanya semalam.

Menurut Hafiz, walaupun sudah bergelar juara, namun dia masih perlu bekerja keras untuk memastikan tempat ke Kejohanan Dunia di Birmingham, Mei ini.

``Saya mahu menumpukan kepada kejohanan-kejohanan ini (Terbuka Korea dan Terbuka Jepun) dulu,'' katanya mengulas pandangan jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek mengenai peluangnya ke Kejohanan Dunia.

Misbun yang ditemui selepas latihan semalam berkata, walaupun setelah bergelar juara, Hafiz tetap diberi layanan yang sama dalam pemilihan ke Kejohanan Dunia.

Menurutnya, Hafiz mungkin tidak tersenarai sekiranya dia menunjukkan kemerosotan prestasi yang mendadak selepas ini kerana leka dengan kejayaan yang dicapai.

``Tempatnya ke kejohanan dunia masih belum terjamin walaupun menurut senarai IBF (Persekutuan Badminton Antarabangsa) di merupakan pilihan utama negara ke sana,'' katanya semalam.

Menurut Misbun, Hafiz harus cepat pulih daripada keseronokan mencipta kejayaan itu dan kembali ke alam nyata untuk berlatih seperti biasa.

Misbun berkata, sekiranya dia tewas pada kejohanan kecil dan kepada pemain yang kurang menyerlah, maknanya dia tidak mempamerkan prestasi yang sewajarnya selaku juara.

Misbun berkata demikian ketika ditanya sejauh mana kemampuan Hafiz mengekalkan prestasi dan mengelakkan diri daripada mengulangi kegagalan abangnya, Roslin Hashim pada Kejohanan Dunia di Seville, Sepanyol, dua tahun lalu.

Pada kejohanan itu Roslin yang baru dimahkotakan sebagai pemain nombor satu dunia berikutan kejayaan menjuarai Terbuka Jepun tersingkir seawal pusingan kedua kepada pemain kurang ternama, Tam Kai Chuen dari Hong Kong dengan straight set 15-10, 15-8.

Kekalahan Roslin merupakan kegagalan besar negara yang meletakkan harapan besar untuk melihat pemain negara mara hingga ke pusingan akhir.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ccuGp48B

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan