Jumaat, 24 Mac 2017

Hafiz ketuai cabaran di Terbuka Singapura



ARKIB : 07/08/2002
SINGAPURA - Pemenang pingat emas Sukan Komanwel XVII, Muhammad Hafiz Hashim akan mengetuai cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura pada 20-25 Ogos ini.

Cabaran negara pada kejohanan yang menawarkan AS$170,000 (RM646,000) itu turut dipikul pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann dan jaguh veteran, Ong Ewe Hock.

Terbuka Singapura turut menarik penyertaan pemain nombor satu dunia Xia Xuanze, Lin Dan dan Bao Chunlai dari China, juara dunia, Hendrawan dari Indonesia dan juara Seluruh England, Chen Hong.

Menurut penganjur, juara Seluruh England 2001, P. Gopichand dari India, Taufik Hidayat dan Marleve Mainaky dari Indonesia, Lee Hyun Il serta Shon Seung Mo dari Korea Selatan turut mengesahkan penyertaan.

Pemain Denmark, Kenneth Jonassen pula akan menjadi pencabar utama dari Eropah.

Terbuka Singapura 2002 turut mengesahkan penyertaan lapan perseorangan wanita terbaik dunia dan tujuh daripada 10 beregu lelaki terbaik dunia.

``Kami telah berjanji kepada peminat badminton tempatan akan mengumpul seramai mungkin pemain terbaik dunia,'' kata setiausaha agung Persatuan Badminton Singapura, Steven Yeo.

``Kami gembira pemain-pemain ini membantu kami mengotakan janji itu,'' katanya lagi.

Cabaran Eropah dalam perseorangan wanita akan diketuai pemain nombor satu dunia dan juara Seluruh England, Camilla Martin serta bekas pemain Indonesia, Mia Audina yang mewakili Belanda.

Pemain nombor dua dunia, Zhou Mi pula bakal mengetuai barisan pilihan China, yang turut membariskan Zhang Ning, Dai Yun serta Gong Ruina - semuanya berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Juara baru perseorangan wanita Sukan Komanwel XVII, Li Li akan menjadi sandaran utama Singapura.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cFRqazWb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan