Selasa, 28 Mac 2017

Kejayaan mengejutkan kaum keluarga

ARKIB : 18/02/2003
TIDAK ada yang mengejutkan Hashim Ikhsan setelah mendapati anaknya Muhd. Hafiz muncul juara badminton Seluruh England sedangkan sebelum ini pemain harapan negara itu gemar bermain badminton secara sambil lewa.

Katanya, Hafiz tidak gemar bermain sebagaimana abangnya, Muhammad Roslin, 27, yang lebih agresif.

Bagaimanapun, Hashim, 67, berkata dia begitu gembira dan berbangga dengan anak kelapannya itu kerana bukan sahaja mencipta kejayaan tersebut malah menjadi anak Melayu pertama menjuarai Seluruh England.

``Hafiz adalah seorang anak yang pendiam dan amat manja, malah ketika berada di England dia sering menelefon ibunya meminta supaya mendoakan kejayaannya,'' katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Sireh, Kota Bharu, semalam.

Hafiz muncul juara Seluruh England yang baru setelah menundukkan juara bertahan dari China, Chen Hong 17-14, 15-10 pada kejohanan yang berlangsung di Birmingham, kelmarin.

Kejayaannya juga sekali gus menamatkan kemarau 37 tahun negara untuk menjuarai kejohanan tersebut bagi acara perseorangan selepas dilakukan Tan Aik Huang pada tahun 1966.

Selain Hafiz, Roslin turut mara ke separuh akhir tetapi kecundang kepada Chen Hong manakala pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lee Tsuen Seng dan Yong Hock Kin terkandas di suku akhir.

Menurut Hashim, beliau menerima banyak panggilan telefon daripada kaum keluarga terdekat bagi mengetahui keputusan perlawanan berikutan tiadanya siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

``Saya dan isteri hanya mengetahui mengenai kejayaan Hafiz setelah dimaklumkan oleh pegawai Nusa Mahsuri kira-kira pukul 11.50 malam.

``Saya pada mulanya tidak percaya dengan perkara tersebut dan hanya yakin setelah mendengar berita ringkas yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM),'' katanya yang merupakan bapa kepada 10 orang anak.

Seorang lagi anaknya, Muhammad, 21, juga adalah pemain badminton.

Beliau berkata, isterinya Habsah Hasan, 55, dan dua anak kembarnya Muhammad Hafizi dan Muhammad Hafifi, 13, tidak ketinggalan menyambut kepulangan Hafiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

Hashim yang tidak dapat ke KLIA kerana keuzuran berkata, beliau sekeluarga akan mengadakan kenduri kesyukuran Jumaat ini bagi meraikan kejayaan Hafiz.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan Hafiz, Hashim berkata, ia mungkin berpunca daripada faktor tradisi keluarga kerana beliau dan isterinya pernah mewakili Kelantan suatu ketika dahulu.

``Saya berharap Hafiz dapat mempertahankan prestasi cemerlangnya supaya terus konsisten dan ini tidak mustahil dilakukan kerana dia masih muda,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Habsah berkata, beliau cukup gembira dengan kejayaan Hafiz.

``Saya juga berpuas hati kerana Hafiz telah berjaya membuktikan bahawa Malaysia sebenarnya masih hebat dalam sukan badminton,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ccSHTgAK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan